PANAMA CITY, Panama – Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) menyatakan bahawa seramai 19,000 kanak-kanak yang separuh daripada mereka berumur bawah lima tahun telah menyeberangi laluan hutan di antara Colombia dan Panama dikenali sebagai Darien Gap pada ahun ini, lapor stesen penyiaran CNN semalam.
Laluan popular sepanjang 60 kilometer itu membawa pendatang asing dari Colombia ke Panama serta merupakan jalan utama penting bagi penduduk Amerika Selatan yang berhasrat untuk sampai ke Amerika Syarikat dan Kanada.
Menurut UNICEF, sekurang-kurangnya lima kanak-kanak ditemui mati di dalam hutan tersebut dan lebih 150 daripada mereka tiba di Panama tanpa ibu bapa masing-masing.
“Kami melihat ramai kanak-kanak yang terpisah daripada ibu dan bapa mereka dalam perjalanan itu dan apabila mereka tiba ke destinasi, mereka diambil oleh orang yang lalu-lalang.
“Kadangkala, bayi atau kanak-kanak kecil ini diambil oleh orang asing dan dibawa ke pusat penerimaan imigran kami,” kata wakil UNICEF di Panama, Sandie Blanchet.
Mereka yang menggunakan laluan itu telah melaporkan kejadian rompakan, penyembelihan dan rogol di sepanjang Darien Gap.
Memetik Perkhidmatan Migrasi Nasional Panama, lebih 88,000 orang telah memasuki Panama melalui laluan hutan itu.
Apabila semakin ramai individu menggunakan laluan itu, jenayah terancang juga mula berakar.
Menurut UNICEF, keganasan seksual merupakan ‘instrumen keganasan’ yang dilakukan oleh kumpulan penjenayah yang beroperasi di sekitar Darien Gap dengan golongan bawah umur adakalanya menjadi sasaran.
Selain keganasan seksual terhadap wanita, agensi itu telah mendaftarkan 29 laporan keganasan seksual dalam kalangan remaja perempuan sejak Januari lalu. – Agensi