MILAN – Pengendali Perancis, Didier Deschamps menghamburkan pujian terhadap penyerangnya, Karim Benzema yang membantu pasukan itu untuk muncul juara Liga Negara-Negara Eropah awal pagi semalam.
Benzema berjaya meledak gol penyamaan ketika Les Bleus bangkit daripada ketinggalan untuk meraih kemenangan 2-1 ke atas Sepanyol pada aksi yang berlangsung di San Siro.
Sepanyol terlebih dahulu di hadapan apabila Mikel Oyarzabal meledak gol pada minit ke-66, namun Benzema tidak menunggu lama apabila menjaringkan gol penyamaan hanya selepas dua minit kemudian.
Perancis berjaya mendapatkan gol kemenangan menerusi Kylian Mbappe kira-kira 10 minit sebelum masa sebenar perlawanan berakhir untuk mereka menjulang trofi berkenaan.
“Karim adalah pemain yang sangat penting dan dia telah membuktikan bakatnya sangat luar biasa bukan sahaja dalam dua perlawanan ini (separuh akhir dan final).
“Semua orang dapat melihat, aksinya di peringkat kelab sangat mengagumkan. Dia sentiasa mempunyai perasaan yang mendesak untuk membantu pasukan yang diwakili meraih kemenangan.
“Gol itu sangat penting terutama ketika kami ketinggalan. Saya sangat gembira melihat prestasi Karim yang sentiasa kekal sama ada bersama kelab ataupun pasukan kebangsaan.
“Ini bukanlah trofi yang sangat penting untuk kami tetapi dia telah memberikan segala-galanya. Dia menjadi pemain yang signifikan untuk pasukan ini ketika kami berharap mampu untuk meraih sesuatu pada saingan ini,” kata Deschamps. – AGENSI