PETALING JAYA – Kerja-kerja baik pulih menara komunikasi di Taman Terendak Permai, Sungai Udang, Melaka yang terbakar pada pukul 1 tengah hari 6 Oktober lalu berjaya dipulihkan sepenuhnya pada Sabtu lepas.
Jabatan Komunikasi Korporat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) melalui satu kenyataan hari ini berkata, kerja-karja baik pulih menara itu berjaya dilakuakn empat hari lebih awal dari yang dijadualkan.
“Para pengguna setempat yang sebelum ini mengalami gangguan akibat kejadian tersebut, kini dapat menikmati semula rangkaian komunikasi dan liputan internet seperti sedia kala.
“Sehubungan itu, SKMM ingin merakamkan penghargaan kepada semua penyedia perkhidmatan yang komited melaksanakan kerja-kerja baik pulih di menara komunikasi berkenaan sehingga ia berjaya disiapkan jauh lebih
awal demi kepentingan pengguna,” jelas kenyataan tersebut.
Difahamkan menara komunikasi tersebut merupakan menara milik pihak Melaka ICT Holdings Sdn Bhd (MICTH) yang dikendalikan oleh syarikat U-Mobile dan YTL. -K! ONLINE.