SEBERANG PERAI – Kira-kira 98 peratus daripada 12,619 guru taska dan tabika di bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) telah menerima suntikan vaksin Covid-19 ketika ini.
Ketua Pengarah Kemas, Datuk Mohamad Yasid Bidin berkata, baki guru yang belum divaksin itu disebabkan beberapa faktor termasuk penangguhan akibat masalah kesihatan seperti alahan ketika mengandung dan sebagainya dengan nasihat doktor.
“Dari segi pengoperasian semula pula, tabika-tabika Kemas ini tertakluk kepada arahan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
“Bagi taska pula mungkin ada juga yang dibenarkan beroperasi sebelum ini. Tapi itu pun berdasarkan permohonan serta mengikut SOP (prosedur operasi standard) yang ditetapkan,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Penyerahan Peralatan Kursus Quick Win Asnaf Berdikari daerah Seberang Perai Utara di Dewan Pusat Kegiatan Masyarakat (PKM) Paya Keladi, Kepala Batas di sini. -K! ONLINE