fbpx

Terkejut atap diterbangkan ribut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ruzilah menunjukkan atap bumbung rumahnya yang diterbangkan angin ribut dalam kejadian petang semalam di Felda Pasir Besar, di sini. - NOR AINNA HAMZAH

TAMPIN – Sebuah keluarga dikejutkan dengan kejadian hampir kesemua atap bumbung rumah mereka diterbangkan angin dalam kejadian ribut di Felda Pasir Besar, Gemas, di sini, petang semalam.

Mangsa, Ruzilah Abdul Rahman, 49, berkata, ketika kejadiannya, anaknya, Izzat Hazim Muhd. Khidir, 25, ada di rumah dan mengirimkannya gambar bahagian dapur rumah yang sudah pun melopong di bahagian atap disebabkan ribut.

Menurutnya, ketika itu, dia berada di Tampin bagi membeli keperluan rumah termasuk lampin pakai buang bapanya, Abd. Rahman Ariffin, 85, dan bergegas pulang ke rumah kerana bimbang dengan keselamatan keluarganya.

“Masa itu pukul 5 petang saya dapat tahu. Bila tengok gambarnya saya menangis sebab sepanjang 49 tahun tinggal di rumah ini, tidak pernah kejadian seperti ini berlaku. Malah, saya bimbang dengan keadaan ayah disebabkan hari masih hujan dan adik bongsu saya pula merupakan orang kurang upaya (OKU) lembam.

“Malam tadi (semalam), Pemuda UMNO ada datang bantu memasang kanvas bagi mengelak air hujan membasahi barangan di rumah terutamanya di bahagian dapur. Dalam kejadian ini, banyak barangan elektrik saya rosak seperti kipas dan peti sejuk terkena air hujan,” katanya ketika ditemui di Felda Pasir Besar, di sini, tadi.

Ruzilah berkata, dia masih terkejut dengan kejadian berkenaan, namun berharap agar kediaman berkenaan akan segera dapat dibaik pulih memandangkan bapanya tidak mahu berpindah ke rumah lain.-K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI