PETALING JAYA – Hangat dalam media sosial hari ini apabila nama aktres dan penyanyi popular Erra Fazira tiba-tiba dipetik netizen selepas dia didakwa sudah mendirikan rumah tangga dengan seorang menteri.
Dalam perkongsian dimuat naik seorang pengguna Twitter semalam, dia mendakwa Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chek, 47, kini sudah menjadi isteri kedua lelaki berkenaan.
Malah individu itu turut mempersoalkan adakah isteri pertama ahli politik itu mengetahui mengenai hal tersebut.
“Dengar khabar Erra sudah jadi isteri kedua kepada seorang menteri. Isteri pertama tahu tak?” kata individu tersebut sekali gus mencetuskan pelbagai spekulasi.
Sementara itu, seperti menjawab semua khabar angin yang berterbangan, pelakon drama Gerak Khas Undercover itu dalam satu entri Instagramnya beberapa jam lalu enggan mengambil pusing mengenai semua dakwaan netizen dalam media sosial.
“Apa, tak habis-habis cerita tentang kahwin ini?
“Apapun, manusia memang suka bercakap, jadi biarkan sahaja mereka berseronok,” katanya dalam entri tersebut.
Erra bagaimanapun tidak mengulas lanjut mengenai isu tersebut dalam mana-mana platform media sosialnya yang lain.
Untuk rekod, Erra pernah berkahwin dengan pelakon dan pengarah Datuk Yusry Abdul Halim pada 2003 namun berpisah pada 2006. Mereka tidak dikurniakan cahaya mata.
Dia kemudian mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan, Engku Emran Engku Zainal Abidin pada 2007 namun disahkan bercerai pada 2014.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan seorang cahaya mata, Engku Aleesya yang kini berusia 12 tahun.
Lima tahun lalu, Erra pernah mengaku menjalin hubungan cinta dengan bekas juara Akademi Fantasia musim kelapan, Shahir. Bagaimanapun hubungan mereka terputus di tengah jalan pada 2019.- K! ONLINE