fbpx

Sudah kena Covid-19 baru nak vaksin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

GUA MUSANG – Kematian tiga ahli keluarga termasuk ibu dan bapa mentua akibat Covid-19 membuka mata seorang lelaki Orang Asli di Pos Brooke di sini untuk menerima suntikan vaksin.

Lelaki itu yang dikenali Itam, 35, berkata, dia bersama keluarganya termasuk tiga yang telah meninggal dunia sebelum ini memilih untuk tidak divaksin selepas terpengaruh dengan dakyah dikeluarkan kumpulan antivaksin.

Menurutnya, kisah jangkitan ibu bapa mentua dan nenek saudaranya bermula selepas mereka menghadiri majlis keramaian di sebuah rumah penduduk kampung berkenaan.

“Saya mengakui terpengaruh dengan kumpulan jaringan yang datang ke sini yang menyebarkan dakyah antivaksin, malah mereka menghasut kami agar tidak percaya dengan jangkitan virus ini.

“Kami sihat tetapi kenapa perlu diberikan suntikan vaksin? Saya ragu-ragu tentang vaksin selepas menonton video yang disebarkan di media sosial dan berasa takut dengan vaksin ini kerana boleh mengorbankan banyak nyawa,” katanya.

Bagaimanapun, menurutnya, selepas ahli keluarganya me­ninggal dunia dan ramai orang kampung dijangkiti Covid-19, dia mula percaya mereka boleh selamat sekiranya menerima suntikan vaksin.

“Saya menyesal dan mula sedar selepas melihat sendiri cara pengebumian pesakit Covid-19 yang begitu rumit dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

“Keluarga kami bukan sahaja tidak dapat melaksanakan pengebumian mengikut adat Orang Asli tetapi tidak dapat menatap wajah mereka bertiga buat kali terakhir,” ujarnya.

Sementara itu, seorang bekas pesakit Covid-19 yang ­hanya mahu dikenali sebagai Sal, 40, mengakui dia tidak pernah mengambil endah mengenai suntikan vaksin sebelum dijangkiti wabak itu awal tahun lalu.

Menurutnya, ketika suntikan vaksin Covid-19 diperkenalkan kerajaan, dia merupakan antara individu yang tidak percaya dan tidak yakin dengan keberkesanannya.

Selain itu, ujarnya, dia juga takut untuk menerima suntikan vaksin kerana mempunyai penyakit kencing manis selain khuatir akan mengalami kesan sampingan.

“Keadaan dan pandangan saya terhadap vaksin Covid-19 mula berubah apabila saya disah­kan positif pada Februari lalu selepas menjadi kontak rapat ahli keluarga yang dijangkiti.

“Ketika itu, saya takut memikirkan nasib dua anak yang juga positif Covid-19 apabila kami bersama-sama ditempatkan di pusat kuarantin selama dua minggu,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurut Sal, apabila sembuh, pandangannya terhadap vaksin mula berubah, malah dia terus mendaftar sebagai penerima suntikan imunisasi menerusi aplikasi MySejahtera.

Ujarnya, dijangkiti Covid-19 merupakan antara pengalaman pahit dalam hidupnya apabila kehidupan mereka menjadi kelam-kabut terutamanya apabila tiada yang boleh menjaga kedua-dua ibu bapanya di rumah.

“Deria rasa hilang dan badan menjadi lemah. Keadaan itu berterusan sehingga ke hari ini meskipun saya sudah menerima suntikan beberapa bulan lalu.

“Saya menyesal mempunyai pandangan yang salah mengenai vaksin sebelum ini. Saya dapat lihat penurunan kes jangkitan semakin menurun apabila kadar vaksinasi meningkat,” katanya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI