TUMPAT – Jabatan Perikanan Negeri Kelantan menggesa semua aktiviti memungut, menjual dan memakan kerang dari Sungai Geting di sini dihentikan serta-merta selepas spesies itu didapati tercemar akibat ledakan alga merah di kawasan berkenaan.
Pengarah Perikanan negeri, Nazri Ishak berkata, notis larangan telah dikeluarkan selepas ujian yang dilakukan ke atas kerang-kerang di lokasi itu disahkan tercemar.
Menurutnya, hasil ujian mendapati spesies kerang di Sungai Geting telah dicemari dengan toksin saraf (Saxitoxin) daripada alga berbahaya iaitu Alexandrium Minitum.
“Larangan itu merangkumi tiram, lokan, kepah, lala dan beberapa jenis spesies kerang lain dari sungai berkenaan.
“Ledakan alga merah itu mula dikesan di kawasan berkenaan pada minggu lalu. Kita mula mengambil sampel kerang pada 4 Oktober lalu dan hasil ujian beberapa hari kemudian mendapati ia tercemar,” katanya ketika dihubungi Kosmo di sini hari ini.
Menurut Nazri, Jabatan Perikanan memohon semua penduduk supaya tidak lagi makan kerang dari kawasan Sungai Geting bermula awal Oktober.
Menurutnya, langkah itu bagi mengelakkan sebarang kesan sampingan terutamanya kepada kesihatan akibat pengambilan kerang-kerang tersebut.
Katanya, Jabatan Perikanan akan membuat pemantauan di lokasi setiap hari untuk melihat perkembangan terkini berhubung perkara tersebut.
“Larangan itu terpakai sehingga satu kenyataan lain dikeluarkan apabila ujian menunjukkan spesies kerang di Sungai Geting selamat untuk dimakan,” ujarnya.
Sebelum ini, kejadian pencemaran hidupan spesis kerang pernah berlaku di Sungai Geting pada September 2015 yang lalu. – K! ONLINE