LEBIH setengah abad mengabdikan diri dalam bidang muzik, legenda yang seorang ini, Datuk Ramli Sarip tidak menunjukkan sebarang isyarat tanda untuk berehat.
Bergelar Papa Rock, lelaki berusia 69 tahun itu sebaliknya terus memperkemaskan rentak, muncul dengan album terbaharu berjudul Rasa.
Lebih istimewa, Rasa terzahir selepas sembilan tahun menyepi tanpa sebarang buah tangan baharu.
Kali terakhir penyanyi kelahiran Singapura itu muncul dengan dengan album adalah pada 2012 menerusi album kerohanian, Sadaqa yang dihasilkan untuk mengumpul dana pembinaan Masjid Hasanah di Singapura.
Berbicara tentang buah tangan terbaharunya, Rasa dikatakan mengetengahkan ramuan terbaik yang menyatukan elemen muzik ‘folk’ (rakyat), blues, rock dan pop tetapi masih dalam nuansa Nusantara Melayu.
Bukan itu sahaja, Rasa disifatkan seperti cerminan peribadi beliau terhadap kehidupan yang dilalui. Secara tidak langsung pembikinan album berkenaan mengimbau semula kehidupan silamnya ketika zaman bersama kumpulan Sweet Charity.
“Dapat menerbitkan album penuh dengan 10 buah lagu memberikan satu kepuasan berbeza. Mencipta hala tuju dan konsep album bagi saya sangat menarik.
“Perkara tersebut secara tidak langsung membuatkan saya mengimbau era penerbitan album bersama kumpulan Sweet Charity. Setiap album ada warna, karakter dan semangatnya yang tersendiri,” tutur Ramli.
Biarpun sejak kebelakangan ini sudah menjadi trend penyanyi menghasilkan single, penghibur yang popular dengan lagu Kamelia itu bagaimanapun masih selesa dengan cara lama.
“Sebenarnya, saya bukanlah orang yang gemar menghasilkan single sahaja, kurang kepuasan.
“Secara kebetulan saya memiliki bahan-bahan baharu yang cukup untuk merakamkan 10 buah lagu, maka terhasillah Rasa,” kata Ramli.
Singapura
Lebih menarik album Rasa telah membawa Ramli kembali ke Singapura.
Memulakan penerbitannya di Kuala Lumpur, namun disebabkan pandemik Covid-19 yang melanda dunia bermula tahun lalu menyebabkan album tersebut disiapkan sepenuhnya di Singapura.
Fakta tersebut agak menarik kerana Rasa merupakan album pertama yang dihasilkan sepenuhnya di Kota Singa itu selepas album Bukan Kerana Nama, bawah naungan Warner Music Singapore pada 1986.
Beritahu penyanyi yang memulakan karier muzik dengan kumpulan Sweet Charity itu, beliau sempat merakamkan tiga buah lagu di Kuala Lumpur iaitu Sentosa Di Kubah Hayat, Surat Cinta Kuala Lumpur dan Srikandi Zaman.
Sementara di Singapura, Ramli merakamkan baki tujuh buah lagu iaitu Kekasihku, Ayah dan Ibu, Ronggeng Rakyat, Cinta Di Sebalik Musim, Nyanyian Sejagat, Irama Kasih dan Orang Tua Bersidi Sakti.
Berbeza dengan album terdahulu, cabaran terbesar yang dilalui dalam pembikinan Rasa ialah musim pandemik.
Tahun lalu beliau terpaksa mengambil keputusan yang sukar apabila memilih untuk pulang ke Singapura sekembalinya dari Bandung, Indonesia kerana situasi wabak yang sangat membimbangkan.
Walhal beliau sepatutnya terbang ke Kuala Lumpur untuk menyiapkan album Rasa yang masih dalam pembikinan.
“Setibanya di Singapura saya terpaksa menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari. Saya akui tempoh tersebut benar-benar menyukarkan kerana tidak dapat ke mana-mana, hanya terperap di rumah.
“Namun, daripada sisi yang lain tempoh tersebut memberi saya kesempatan mendapat lebih banyak ilham untuk menyiapkan album ini,” katanya.
Meskipun pembikinan Rasa berlangsung penuh cabaran dan sempat membuatkannya berasa gundah kerana ketiadaan persembahan pentas yang merupakan sumber rezeki utama, Ramli nekad untuk menyiapkan album tersebut.
Perjuangannya tetap diteruskan meskipun terpaksa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
Bagai magis, apabila berkumpul dan berkongsi idea bersama teman-teman pemuzik, segala tekanan yang dirasai hilang begitu sahaja.
“Saat berkarya saya lupa tentang perkara lain. Saya kembali bersemangat untuk membuat yang terbaik dan ilham terus mengalir keluar.
Perasaannya seperti berada di puncak. Malah, semasa di studio rakaman, saya melalui satu pengalaman unik.
“Saya berasa sangat tenang ketika menyanyi dan tiba-tiba terbit rasa rindu terhadap kedamaian yang dikecapi sebelum pandemik berlaku.
“Perasaan tersebut memberi dorongan dan semangat baharu untuk terus berkarya.
“Disebabkan itulah album kali ini memiliki rasa dan jiwa yang berbeza,” getus Ramli yang telah menghasilkan 21 buah album sebelum ini.
Versi baharu
Menerusi 10 buah lagu yang dimuatkan dalam Rasa, terdapat sebuah lagu yang cukup dikenali ramai iaitu Ayah dan Ibu yang pernah dipopularkan terlebih dahulu oleh Allahyarham Sudirman Haji Arshad.
Sungguhpun begitu, lagu ciptaan dan nyanyian asal oleh A. Rahman yang telah dirakamkan sekitar 1940-an tersebut menarik minat Ramli berdasarkan ketinggian nilai dalam karya tersebut.
“Saya memilih untuk merakamkan semula lagu Ayah dan Ibu kerana lagu tersebut agak mencabar dan memiliki nilai yang begitu tinggi.
“Pada tahun 1981, Sudirman membuat rakaman semula bersama EMI. Saya mahu menyanyikan semula lagu berkenaan untuk mengenang jasa ibu bapa yang telah lama meninggalkan kita.
“Biarpun lagunya sama tetapi versi saya berbeza dan pendengar harus menilai sendiri,” tuturnya.
Selain itu, lagu Srikandi Zaman yang liriknya ditulis oleh Hartinah Ahmad mengisahkan tentang empat wanita agung antaranya Saidatina Khadijah, isteri pertama Nabi Muhammad SAW juga antara yang menarik minatnya.
Besar harapan Ramli agar album terbaharunya diterima ramai kerana selain kaya dengan muzik terbaik, Rasa menceritakan tentang alam dan kasih sayang sesama manusia.
Bagi Ramli, Rasa muncul dalam waktu yang tepat ketika seluruh dunia berdepan dengan ujian yang begitu mencabar.
“Harapan saya, album ini akan dapat membakar semangat nusantara dan sejagat untuk terus berkarya dalam apa jua suasana yang menghalang.
“Album baharu ini diharap dapat memberi sinar dan warna baharu dalam dunia seni.
“Cintailah alam dan berkasih sayang sesama manusia. Khusus untuk pencinta dan pejuang seni agar kita terus melahirkan karya baharu,” luah Ramli menutup bicara.