PUTAJAYA – Semua operator pengangkutan awam perlu memastikan setiap penumpang atau pengguna menunjukkan sijil vaksinasi bagi membuktikan mereka telah lengkap vaksinasi sebagaimana yang dikehendaki dalam prosedur operasi standard (SOP) bagi tujuan rentas negeri.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, pengguna pengangkutan awam turut digalakkan membuat ujian saringan Covid-19 kendiri sebelum memulakan perjalanan rentas negeri bagi melindungi diri sendiri, keluarga dan orang di sekeliling.
Menurutnya, pematuhan-pematuhan SOP lain seperti memakai pelitup muka dan kerap mencuci tangan atau menggunakan cecair pembasmi kuman (hand sanitizer) juga perlu dipatuhi tanpa kompromi.
“Kementerian Pengangkutan (MOT) mengingatkan kepada operator-operator pengangkutan awam bagi kesemua sektor darat, udara dan maritim tidak leka serta sentiasa mematuhi SOP ditetapkan kerajaan di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN),” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Ka Siong berkata, Keluarga Malaysia yang ingin ke luar negara juga kini tidak lagi perlu memohon MyTravelPass’ sebagaimana yang diperlukan sebelum ini.
“Namun, pengembara yang baru pulang ke tanah air masih perlu kuarantin wajib sebagai usaha mengekang penularan wabak Covid-19,” katanya – K! ONLINE