KETUA jurulatih skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe menganggap pasukannya telah meraih pengalaman berharga pada aksi dua persahabatan antarabangsa yang diharungi di Amman, Jordan minggu lalu meskipun dibolosi sembilan gol.
Sebagai rekod, skuad negara mengulangi skrip sama apabila tewas kepada Uzbekistan 1-5 awal pagi semalam walaupun menunjukkan peningkatan berbanding ketika dibelasah 0-4 oleh Jordan pada Khamis lepas.
Kata Cheng Hoe, di atas kertas walaupun rekod pasukan tidak berapa baik selepas dibolosi jumlah gol yang banyak, namun prestasi dipamerkan pemain di atas padang menunjukkan peningkatan dan boleh memberi tentangan kepada Uzbekistan.
“Saya lihat masih ada beberapa perkara positif yang boleh kita lihat sepanjang dua perlawanan itu khususnya aksi bertemu Uzbekistan yang saya lihat ada peningkatan ketara kerana pemain lebih yakin untuk mengawal bola dan menyerang.
“Malah, ada juga beberapa kelemahan dan kesilapan individu yang kita berjaya elakkan dan harus diakui semua gol Uzbekistan adalah hasil gerakan cantik pemain mereka yang mudah menghukum benteng pertahanan negara.
“Secara keseluruhan, sudah tentu objektif tidak kesampaian dalam usaha melakar keputusan positif tetapi saya percaya pemain-pemain dapat pengalaman berharga kerana kita menentang dua pasukan Asia Barat berkualiti,” katanya pada sidang akhbar secara virtual semalam.
Mengulas lanjut, Cheng Hoe turut mengakui ada beberapa pemain dalam skuad kali ini boleh diserapkan dalam pasukan utama yang akan mengharungi kempen Piala AFF Suzuki bermula Disember depan.
“Kita tahu aksi persahabatan adalah peluang buat muka-muka baharu menyesuaikan diri dengan saingan antarabangsa dan saya berpuas hati dengan komitmen diberikan oleh barisan pemain.
“Meskipun ini bukan senarai pasukan terbaik negara, saya lihat ada beberapa pemain agak menyerlah seperti Faisal Halim dan Mukhairi Ajmal yang berpeluang untuk dipanggil pada aksi antarabangsa akan datang.
“Pengalaman dimiliki oleh Baddrol Bakhtiar yang berjaya menjaringkan gol serta kapten, Aidil Zafuan (Abd. Radzak) juga tidak boleh dipertikai.
“Namun, saya mahu semua pemain terus bekerja keras kerana kita akan teruskan latihan pusat sepanjang dua minggu tempoh kuarantin nanti apabila tiba di tanah air bagi mengekalkan kecergasan,” katanya.