fbpx

LLM jangka trafik meningkat 4 juta sehari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menjangkakan jumlah trafik akan meningkat kepada 4 juta kenderaan sehari terutamanya pada cuti hujung minggu dan cuti umum Maulidur Rasul pada 19 Oktober nanti, berbanding 3.5 juta kenderaan sehari pada masa kini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Mohd. Suhaimi Hassan berkata, LLM telah bersiap sedia dan mengambil langkah-langkah perlu bagi memastikan kelancaran trafik di lebuh raya susulan kerajaan membenarkan rakyat Malaysia yang telah menerima vaksinasi lengkap, melakukan pergerakan rentas negeri bermula hari ini.

“LLM telah mengarahkan syarikat konsesi lebuh raya untuk menjadualkan pelaksanaan kerja – kerja penyelenggaraan dan mengelakkan pelaksanaan penutupan lorong terutamanya di Lebuh Raya Utara Selatan, Lebuh Raya KL – Karak, Lebuh Raya Pantai Timur dan Lebuh Raya Kajang Seremban.

“Persediaan rapi juga perlu dilakukan di plaza tol bagi memastikan kelancaran pergerakan kenderaan semasa melakukan transaksi di plaza tol,” jelasnya melalui satu kenyataan hari ini.

Tambahnya lagi, syarikat pengendali lebuh raya juga diarahkan untuk melakukan persiapan bagi memastikan semua kawasan rehat & rawat dan hentian sebelah sepanjang lebuh raya berada dalam keadaan baik, teratur serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengelakkan penularan Covid-19.

LLM juga katanya ingin menasihatkan pengguna agar memastikan kenderaan dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan, baki kad  Touch ‘n Go adalah mencukupi, merancang dan mendapatkan rehat secukupnya sebelum memulakan perjalanan.

“Pakai pelitup muka, amalkan penjarakan sosial, elakkan 3C (close contact, crowded area & close conversation), penggunaan surau dan tandas serta merekodkan pergerakan menerusi aplikasi MySejahtera terutamanya apabila berada di kawasan rehat & rawat atau hentian sebelah.

“Pengguna lebuh raya boleh menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM di talian 1 – 800 – 88 – 7752 untuk mendapatkan maklumat keadaan trafik atau mendapatkan bantuan.

“Maklumat keadaan trafik juga boleh diperoleh menerusi laman Facebook: Lembaga Lebuhraya Malaysia atau di Twitter @LLMinfotrafik,” katanya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI