NEWCASTLE – Pemilik bersama Newcastle United, Amanda Staveley berjanji kepada para peminat pasukan itu bahawa mereka akan berusaha untuk mendapatkan pemain berkelas dunia bagi memburu kejuaraan.
Menurutnya, impian kesemua pemegang saham kelab berkenaan adalah untuk melihat Newcastle menjadi sebuah kuasa baharu bola sepak Eropah.
“Kami akan berada di pasaran perpindahan pemain untuk mendapatkan pemain-pemain berkelas dunia selepas ini. Kami mempunyai impian yang besar dan berharap Newcastle akan berubah keseluruhannya.
“Namun, jika anda tidak menyediakan infrastruktur yang baik, pemain-pemain ini tidak akan bersetuju untuk menyertai kami.
“Padang latihan yang kami miliki ketika ini sangat menyedihkan. Kami perlu melabur sejumlah besar wang untuk memperbaikinya dan bertuah kerana pembangunan infrastruktur tidak termasuk di dalam Peraturan Kewangan Adil (FFP).
“Tidak ada guna mempunyai pemain berkelas dunia tetapi mereka tidak mempunyai tempat untuk berlatih. Anda perlukan asas yang kuat terlebih dahulu, bukan terus mendapatkan pemain yang hebat.
“Keutamaan kami adalah membangunkan St. James Park terlebih dahulu dan semua pihak perlu bersabar dengan perancangan yang sedang kami atur,” katanya. – AGENSI