fbpx

Hishammuddin ingatkan orang ramai jaga SOP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar komen Hishammuddin di Facebook.

PETALING JAYA – Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini membuat pengguna media sosial terhibur apabila meninggalkan komen di sebuah laman Facebook menyiarkan kartun berkenaan kebenaran merentas negeri.

Lukisan dihasilkan Galeri Sentuhan ArifSan itu memaparkan karikatur beliau bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berdiri memerhatikan gelagat rakyat yang seakan-akan berlumba untuk pulang ke kampung halaman masing-masing.

Dalam komen tersebut juga, Hishammuddin sempat mengingatkan orang ramai agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sewaktu pulang ke kampung.

“Itu saya ke? Pastikan anda telah lengkap divaksin dan lakukan ujian #Covid-19 kendiri sebelum lakukan perjalanan! Selain terus patuh SOP, kita mesti kukuhkan tindakan kesihatan awam kendiri dengan mengamalkan TRIIS: TEST, REPORT, ISOLATE, INFORM, SEEK.

“Sebarkan tentang TRIIS kepada ahli keluarga, sahabat dan seramai mungkin kenalan supaya ia menjadi rutin kendiri,” katanya.

Komen yang ditinggalkan Hishammuddin itu mendapat perhatian orang ramai yang turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana membenarkan pergerakan rentas negeri.

“Terima kasih di atas keputusan kerajaan membenarkan rentas negeri. Terubat jua rindu kami dekat sanak saudara. Insya-Allah kami akan patuh SOP,” kata Farihin.

“Menurut saranan Datuk dan alhamdulillah dah sampai kampung. Terima kasih Datuk, terima kasih kerajaan dan terima kasih frontliner,” kata Kipli yang turut berkongsi gambar kit ujian calitan Covid-19.

Terdahulu, kerajaan semalam bersetuju memberi kebenaran untuk rakyat Malaysia yang telah menerima vaksinasi lengkap untuk melakukan pergerakan rentas negeri bermula hari ini. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI