BEIJING – Lebih 120,000 orang dipindahkan, lombong arang batu ditutup dan tanaman musnah selepas hujan lebat luar biasa mengakibatkan banjir di wilayah Shanxi, utara China pada hujung minggu lalu, lapor media pemerintah hari ini dengan lebih banyak hujan diramal melanda.
Bencana itu berlaku beberapa bulan selepas banjir paling buruk melanda wilayah Henan, tengah China dan membunuh lebih 300 orang.
Banyak kawasan di Shanxi menerima hujan paling lebat sejak seminggu lalu, demikian menurut pemerintah tempatan yang turut mengarahkan lombong-lombong arang batu ditutup dan pelan kecemasan segera diaktifkan bagi menangani sebarang ancaman bahaya.
Shanxi merupakan wilayah dikelilingi daratan dan biasanya menyaksikan cuaca kering.
Sekurang-kurangnya 60 lombong arang batu di wilayah itu ditutup akibat banjir walaupun China kini berdepan krisis kekurangan tenaga.
China berdepan pemotongan kuasa elektrik ketika harga arang batu melambung tinggi, harga bekalan elektrik dikawal pemerintah dan sasaran asap ketat menyebabkan bekalan tenaga elektrik semakin sukar.
Lebih 1.75 juta penduduk terjejas akibat banjir di Shanxi setakat ini. Agensi berita rasmi Xinhua melaporkan bahawa wilayah berkenaan menerima taburan hujan tiga kali ganda lebih banyak bulan ini dalam tempoh cuma lima hari pada minggu lalu.
Dianggarkan 190,000 hektar tanaman musnah dan 17,000 bangunan runtuh, demikian menurut akhbar Parti Komunis, Shanxi Evening News. – AFP