fbpx

Artis popular enggan bertanding? AME2021 tiada paksaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENGACARA serta pelawak popular, Nabil Ahmad dan Jihan Muse masih diberi kepercayaan mengendalikan Anugerah MeleTOP Era edisi 2021 yang dijadualkan berlangsung menjelang hujung Januari tahun depan.

BAHANG anugerah popular, Anugerah MeleTOP Era 2021 (AME2021) sudah dirasai ramai.

Acara yang bakal berlangsung pada 30 Januari tahun depan itu pastinya antara program televisyen tahunan yang dinanti-nantikan.

Menurut Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad, penganjuran AME2021 menjadi satu pengiktirafan untuk menjulang semua kerjaya kreatif, merangkumi bidang muzik, radio, televisyen, filem dan digital.

“Selepas dunia hiburan melalui fasa ‘sepi’ sejak pandemik, dengan adanya AME2021 yang bakal berlangsung, harap dapat menaikkan semangat baharu untuk semua penggiat seni.

“Bukan sahaja untuk calon pemenang tetapi juga kepada selebriti yang akan membuat persembahan. Secara perlahan-lahan kita hidupkan semula industri seni tanah air,” katanya dalam sidang akhbar virtual baru-baru ini.

Berita baiknya, AME2O21 yang hadir dengan tema ‘Yang Fresh, Yang Legend’ pada tahun ini dijangka boleh dihadiri oleh penonton secara bersemuka, namun semuanya bergantung kepada situasi semasa pada tahun depan.

“Buat masa sekarang penonton masih boleh hadir untuk rancangan secara langsung tapi kita lihat bagaimana keadaan selepas ini,” katanya lagi.

Penarikan diri

Bercakap tentang trend selebriti popular menarik daripada pencalonan dan bertanding dalam mana-mana majlis anugerah pilihan peminat, sebagaimana yang berlaku dalam Anugerah Bintang Popular, Raqim sebenarnya berharap, tidak ada calon-calon awal Top 20 menarik diri daripada menyertai AME2021.

Bagaimanapun, menurut Astro, sebagai penyiar tidak boleh memaksa kesediaan mana-mana artis untuk kekal bersaing mahupun menyenaraihitamkan calon yang menarik diri.

“Kami tidak akan banned tetapi acara ini dianjurkan untuk mengiktiraf karyawan dan semua penggiat seni tanah air dan sudah pastilah berharap ramai yang menyertainya.

“Bagaimanapun, pihak kami tidak boleh memaksa setiap orang untuk menyertai tetapi besar harapan kami agar semua selebriti dapat menyertai AME2021.

“Jika hendak tarik diri, kami juga perlu tahu apakah sebab atau puncanya,” katanya.

Kategori gugur, baharu

Dalam pada itu, AME2021 menyaksikan sebanyak dua kategori iaitu Hos MeleTOP dan Fesyen MeleTOP digugurkan tahun ini.

“Kami membuat keputusan untuk menggugurkan Fesyen MeleTOP kerana kategori tersebut menunjukkan penurunan dari segi undian.

‘Namun, kami memperkenalkan pula tiga kategori baharu tahun depan iaitu Video MeleTOP, Personaliti MeleTOP dan BBNU MeleTOP tahun ini.

“Hasil kajian kami, tiga kategori ini sangat relevan pada hari ini dengan kehadiran ramai bakat baharu, pesohor media sosial,” katanya lagi.

Sementara itu, kategori Hos MeleTOP pula akan dimasukkan ke dalam kategori Personaliti MeleTOP yang menggabungkan ramai personaliti popular daripada pelbagai bidang seperti sukan dan hiburan.

Material seni

Ujar Raqim, walaupun material dan karya-karya besar kurang dihasilkan pada tahun ini akibat pandemik, pihak Astro mengambil keputusan untuk melihat situasi tersebut dari sudut berbeza iaitu kandungan kreatif.

“Jadi, dari aspek kandungan memang ada sedikit kekurangan. Namun, ketika musim Perintah Kawalan Pergerakan lalu, ramai yang kreatif.

“Semua itu juga kami akan nilai, sekaligus menghargai banyak kandungan keatif yang dihasilkan oleh penggiat seni tanah air,” katanya.

Katanya, kategori Video MeleTOP dan Personaliti MeleTOP juga diwujudkan susulan banyak kandungan kreatif dihasilkan sepanjang musim PKP lalu,

“Jika dilihat semula, banyak video yang muncul pada musim PKP lalu menjadi viral dan popular dalam media sosial.

“Jadi, kami wujudkan beberapa kategori baharu bagi menghargai usaha dan idea kreatif yang dihasilkan mereka,” katanya lagi.

Sementara itu, penganjuran AME2021 masih mengekalkan gandingan pengacara terkenal iaitu Nabil Ahmad dan Jihan Muse.

Hos

Menurut Nabil, dia dan Jihan bakal mempersembahkan satu kelainan buat semua penonton AME2021.

“Setakat ini saya, Jihan dan pihak produksi mempunyai beberapa perancangan dan kejutan buat semua.

“Insya-Allah kami akan berikan terbaik sekaligus dapat menghiburkan semua memandangkan AME2021 seperti acara comeback buat semua penggiat seni selepas PKP,” katanya.

Format penganjuran asal AME menyerahkan kuasa penuh kepada peminat untuk mengundi pemenang bagi kesemua 16 buah kategori utama masih dikekalkan.

Undian fasa pertama untuk memilih calon Top 5 akan dibuka sejak 5 Oktober 2021 sehingga pukul 6 petang 19 November menerusi laman rasmi www.anugerahera.com.my dan aplikasi SYOK.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI