MELAKA – Kemasukan kenderaan ke negeri ini dijangka meningkat secara mendadak mencecah 45,000 pada hujung minggu ini susulan kebenaran rentas negeri yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, semalam.
Timbalan Ketua Polis Negeri, Datuk Razali Abu Samah berkata, sebelum ini Melaka menerima kira-kira 19,000 kemasukan setiap hari sepanjang tempoh sekatan pergerakan penuh.
Ujarnya, bagaimanapun, jumlah itu dijangka meningkat secara mendadak iaitu kira-kira 137 peratus atau mencecah 45,000 bermula Jumaat ini melibatkan aktiviti balik kampung mahupun melancong.
“Kita jangkakan aliran trafik kenderaan masuk meningkat dengan mendadak pada hujung minggu ini selepas Perdana Menteri membenarkan aktiviti rentas negeri semalam.
“Sejak pagi tadi jumlah kenderaan yang masuk telah menunjukkan sedikit peningkatan, ada juga yang datang dari Putrajaya dan Johor semata-mata untuk menikmati sajian asam pedas dan balik semula ke negeri masing-masing,” katanya pada sidang akhbar selepas membuat pemantauan aliran trafik di Plaza Tol Ayer Keroh, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut mengenai vaksinasi yang telah ditetapkan sebagai syarat rentas negeri, beliau memberitahu, pemeriksaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) itu akan dibuat secara berkala di pintu masuk di semua pintu masuk plaza tol negeri ini.
“Sekiranya kita dapati ada yang tidak cukup dua dos atau belum melepasi tempoh matang vaksin, tindakan kompaun akan dikeluarkan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
“Selain itu, kita telah menugaskan seramai 72 anggota polis pelancong untuk membuat pemeriksaan pematuhan SOP di lokasi-lokasi tumpuan termasuk di kawasan rumah inap desa berhampiran pantai,” katanya.
Tambahnya, pemeriksaan secara berkala itu melibatkan pasukan daripada Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Bahagian Siasatan Jenayah (CID), seluruh pasukan Unit Kereta Peronda (MPV). – K! ONLINE