BERA – Seorang remaja maut selepas motosikal yang ditunggangnya melanggar seekor lembu yang melintas jalan sebelum mangsa dirempuh sebuah kereta di Kilometer 7 Jalan Bera-Mayam di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Bera, Deputi Superintendan Mansor Samsudin berkata, kejadian kira-kira pukul 7.45 petang itu berlaku ketika mangsa, Aidil Aiman Azizan,19, dalam perjalanan dari Felda Tementi ke Kerayong di sini.
“Apabila sampai di tempat kejadian tiba-tiba seekor lembu melintas jalan dan mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha 125Z terlanggar lembu tersebut dan melambung terjatuh di laluan bertentangan.
“Pemandu sebuah kereta yang lalu di laluan tersebut ternampak kejadian itu dan cuba membrek tetapi terlanggar mangsa,”katanya di sini, hari ini.
Menurutnya mangsa meninggal dunia ditempat kejadian dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh untuk bedah siasat.
Katanya kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 daN siasatan masih giat dilakukan.
Ujarnya berdasarkan siasatan awal mendapati lokasi kejadian adalah jalan lurus dan semasa kejadian permukaan jalan kering serta jalan gelap tanpa lampu jalan. – K! ONLINE.