SEREMBAN – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah bersedia untuk berbincang dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkenaan prosedur operasi standard (SOP) yang akan ditetapkan sekiranya Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka dilaksanakan.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, pihaknya telah pun memberi pandangan kepada Jemaah Menteri mengenai situasi PRN di Melaka dan menyerahkan kepada Jemaah Menteri untuk membuat keputusan sama ada PRN diteruskan atau sebaliknya.
“Sekiranya perlu dijalankan (PRN Melaka), KKM sudah bersedia untuk berbincang dengan SPR berkenaan SOP yang akan diberikan. Biar Jemaah Menteri buat keputusan dulu… terlalu awal kita (KKM) buat apa-apa pengumuman SOP.
“KKM dah ada pandangan berkenaan SOP yang perlu diambil kira oleh SPR,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Wad Kanak-kanak, Pelancaran Mesin MRI dan Pelancaran Pensijilan ISO 9001: 2015 Mawar Medical Centre di Mawar Medical Centre, di sini, tadi. – K! ONLINE.