SEPANJANG minggu ini, dua kes lemas ketika beriadah di pantai dilaporkan berlaku di Port Dickson, Negeri Sembilan.
Tambah menyedihkan apabila salah seorang mangsa merupakan kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang ditarik ombak kuat sewaktu mengekori bapanya cuba menyelamatkan dua beradik lain yang hampir lemas di Pantai Seaview, Tanjung Gemok, Port Dickson.
Begitupun, itu tidak bermakna pantai Port Dickson tidak selamat, malah merupakan antara lokasi pelancongan utama di Negeri Sembilan yang telah menerima kehadiran puluhan ribu pengunjung sejak dibuka semula pada hujung bulan Ogos lalu.
Pantai Port Dickson juga antara tiga lokasi pelancongan domestik paling ingin dikunjungi berdasarkan carian perjalanan platform perkongsian dan sewaan penginapan, Airbnb.
Banyak faktor yang dikaitkan dengan kejadian lemas, termasuklah fenomena air pasang besar yang sedang melanda pantai peranginan itu ketika ini.
Penyelidik Fakulti Pengajian Kontemporari Islam Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof. Madya Dr. Roslan Umar berkata, fenomena air pasang besar telah meningkatkan paras air laut dan ombak di kawasan pantai.
“Ia merupakan fenomena normal apabila posisi bumi selari dengan matahari dan bulan ketika pertukaran bulan baharu dan mengikut takwim hijrah atau kalendar Islam.
“Sebagai rekod, dua kes lemas yang dilaporkan di Port Dickson itu berlaku pada 27 dan 29 Safar dan ketika itu memang berlaku fenomena air pasang besar,” katanya kepada Kosmo!.
Roslan berkata, orang ramai kurang digalakkan untuk melakukan aktiviti pantai sewaktu fenomena air pasang besar kerana sedikit kealpaan boleh menyebabkan tragedi.
Felo Institut Penyelidikan Alam Sekitar Pantai Timur UniSZA itu juga memberitahu, cara paling mudah untuk mengetahui pergerakan air laut berhubung fenomena air pasang besar ialah menyemak takwim hijrah yang dihisab berdasarkan pergerakan bulan.
“Sebagai contoh, fenomena air pasang pada waktu ini diramal akan berlarutan sehingga 10 Oktober ini (esok) sebelum berlaku lagi dari 19 Oktober hingga 25 Oktober ini.
“Pengetahuan berhubung pergerakan air laut ini adalah panduan berguna untuk kita memilih tarikh sesuai melakukan aktiviti pantai bagi mengurang risiko yang dikhuatiri menyebabkan sebarang insiden buruk,” katanya.
Roslan menjelaskan, fenomena air pasang besar bukan sahaja berlaku di Port Dickson, malah di pantai-pantai peranginan lain.
Sementara itu, pensyarah Pusat Pengajian Sains Marin dan Sekitaran Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Effi Helmy Ariffin berkata, fenomena air pasang besar turut membawa risiko kejadian arus karau yang turut memberi risiko kes lemas di pantai.
Ujar beliau, arus karau atau dalam bahasa Inggeris disebut rip current merupakan arus laut yang melalui saluran sempit di pesisir pantai sebelum bergerak semula menuju ke arah laut.
“Arus karau terbentuk apabila ombak bergerak pada sudut tegak ke arah pantai dan biasanya akan menarik mangsa ke tengah laut.
“Mangsa biasanya panik sehingga menyebabkan mereka kehilangan tenaga sebelum lemas,” katanya.
Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Maritim UMT, Rudiah Md. Hanafiah pula menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada kerana kejadian lemas di pantai merupakan kes kedua tertinggi dilaporkan di negara ini dengan 50 peratus mangsa adalah berusia bawah 24 tahun.