TURIN – Jurulatih Belgium, Roberto Martinez menganggap tekanan tinggi menjadi punca skuad kendaliannya tewas 2-3 kepada Perancis pada separuh akhir Liga Negara-Negara Eropah di Stadium Allianz awal pagi semalam.
Biarpun mendahului 2-0 pada separuh masa pertama menerusi jaringan Yannick Carrasco dan Romelu Lukaku, namun mereka mensia-siakannya apabila Perancis bangkit menerusi gol Karim Benzema, Kylian Mbappe dan Theo Hernandez.
Belgium yang dilabelkan sebagai skuad emas kerana memiliki Eden Hazard, Kevin de Bruyne dan Lukaku terus kempunan untuk menjulang trofi, tiga bulan selepas tersingkir pada suku akhir Euro 2020.
“Aksi separuh masa kedua dipengaruhi emosi kerana pemain-pemain rasakan tekanan cukup tinggi untuk membawa pasukan ke perlawanan akhir. Secara tiba-tiba kami mahu perlawanan itu ditamatkan segera.
“Keadaan itu menyebabkan semua pemain gagal untuk bermain seperti biasa. Saya tidak menafikan mereka memikul tekanan cukup tinggi kerana terdesak untuk menghadiahkan trofi kepada peminat,” kata Martinez.
Bekas pengurus Everton itu percaya pengalaman yang diraih pemain-pemainnya pada saingan Euro serta Piala Dunia 2018 mampu membantu pasukan tersebut menjelang pusingan akhir Piala Dunia 2022 di Qatar tahun depan.
“Saya tahu seluruh negara kecewa dengan keputusan ini, namun ia menjadi pengajaran berguna untuk kami. Kami tidak boleh mengalah walaupun berdepan pengalaman mengecewakan ini,” ujar beliau. – AGENSI