PUTRAJAYA – Kerajaan hari ini melancarkan Pelan Tindakan Wanita Dalam Sukan yang merupakan satu dokumen komprehensif menggariskan objektif, strategi dan
inisiatif terancang ke arah memperkasa penglibatan dan penyertaan wanita dalam pelbagai bidang sukan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelan tindakan tersebut adalah bermatlamat menjadikan pembangunan sukan negara lebih inklusif dan seimbang.
“Pelan tindakan ini adalah selaras dengan Dasar Sukan Negara dan Akta Pembangunan Sukan 1997 serta dasar dan perundangan di peringkat antarabangsa seperti Olympic Charter, Olympic Agenda 2020, Kazan Action Plan dan The Convention on the Elimination of all Forms of Discrimination Against Women (CEDAW).
“Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM10 juta untuk menjayakan pelaksanaan Pelan Tindakan Wanita Dalam Sukan yang mengandungi lima teras, lapan objektif, 19 strategi dan 45 inisiatif,” katanya hari ini.
Beliau berkata demikian ketika berucap sebelum melancarkan Hari Sukan Negara 2021 di Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di sini hari ini.
Hadir sama Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; timbalannya, Datuk Seri Ti Lian Ker dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali.
Susulan itu juga, menurut Ismail Sabri, Jawatankuasa Wanita Dalam Sukan telah ditubuhkan bagi merancang dan memantau pelaksanaan pelan tindakan tersebut.
Beliau berkata, jawatankuasa itu dianggotai oleh 15 orang pakar rujuk terdiri daripada wakil kementerian, badan sukan, bekas atlet dan individu berpengalaman.
“Pelan Tindakan Wanita Dalam Sukan disasarkan mampu meningkatkan penglibatan keseluruhan wanita dalam aktiviti sukan, kepimpinan dalam badan sukan dan penyertaan dalam kejurulatihan dan kepegawaian sukan,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, menyedari kepentingan pembangunan bakat-bakat sukan bagi melahirkan juara di temasya sukan antarabangsa, kerajaan turut melancarkan Program Talent Identification and Development (MyTID KPM-KBS).
Katanya, program itu dibangunkan melalui kerjasama rentas kementerian di antara KBS dan Kementerian Pendidikan (KPM).
“Program MyTID KPM-KBS ini dianggarkan melibatkan seramai 500 orang guru tenaga penguji terlatih (Talent Eagle) serta sasaran penyertaan seramai 60,000 orang murid dari sekolah rendah (tahun 1 hingga 6) yang melibatkan semua Pejabat Pendidikan Daerah mengikut zon.
“Program ini dijangka akan membantu memperluaskan penyertaan bakat-bakat baharu (talent pool) seawal usia 7 tahun yang berpotensi di peringkat akar umbi untuk dikenal pasti dengan lebih awal dan mengurangkan risiko keciciran bakat,” katanya.
Selain itu, menurut Ismail Sabri, kerajaan menyedari kepentingan sukan sebagai salah satu penyumbang kepada ekonomi negara, justeru KBS kini sedang menggubal sebuah Pelan Tindakan Industri Sukan Negara.
“Pelan yang bersifat komprehensif dan kompetitif ini bertujuan menjadikan sukan sebagai sumber baharu dalam menjana pertumbuhan ekonomi negara, seiring perkembangan di peringkat global,” katanya. – K! ONLINE.