SETIU – Tiga mayat kanak-kanak yang hilang di muara sungai berhampiran Kampung Mangkuk di sini telah ditemui pada awal pagi tadi.
Pengerusi Bencana Daerah Setiu, Rosli Latif, berkata, mayat Nur Amni Insyirah Saiful Tarmizi, 9, yang pertama dijumpai jam 12.58 pagi.
“Mayat kanak-kanak perempuan itu ditemui pasukan mencari dan menyelamat pada kedudukan 800 meter dari lokasi dia kali terakhir dilihat.
“Mayat adik lelakinya, Muhammad Aryan Faheem, 7, pula ditemui pada pukul 1.47 pagi,” katanya di sini, hari ini.
Rosli berkata, mayat kanak-kanak lelaki itu dijumpai kira-kira 1.5 kilometer dari lokasi kejadian.
Menurutnya, mayat Nurul Hasha Humaira Che Mohd. Humaizi, 11, pula dijumpai pada pukul 8.15 pagi.
“Operasi ditamatkan sepenuhnya jam 8.40 pagi dan ketiga-tiga mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Setiu di sini untuk dibedah siasat,” katanya.
Kosmo! semalam melaporkan tiga kanak-kanak termasuk dua beradik dibawa arus berikutan fenomena air pasang ketika sedang mencari kepah di kawasan beting pasir di muara Sungai Mangkuk.
Sebelum kejadian, mereka mengikut ahli keluarga masing-masing yang berasal dari Losong dan Atas Tol, Kuala Terengganu untuk berkelah di kawasan berkenaan. – K! ONLINE