GEORGE TOWN – Mayat seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas terjatuh dari Jambatan Pulau Pinang di Kilometer (KM) 2.5 di sini ditemui hari ini.
Mayat lelaki berusia 25 tahun itu dilaporkan ditemui dalam keadaan terapung kira-kira pukul 9.30 pagi berhampiran Jeti Swettenham Pier di sini.
Jarak lokasi mangsa jatuh dan tempat mayatnya ditemui dianggarkan kira-kira 10 kilometer.
Menurut Pengarah Maritim Malaysia negeri, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed, pihaknya menggerakkan bot KILAT 26 ke lokasi dan menemui mayat kira-kira pukul 10.05 pagi.
“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban dan polis mengesahkan ia adalah individu yang terlibat dalam kes terjun Jambatan Pulau Pinang (Khamis lalu).
“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita hari ini.
Operasi mencari dan menyelamat mangsa turut dilakukan pasukan Polis Marin Batu Uban dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang.
Terdahulu, akhbar melaporkan seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam laut dari Jambatan Pulau Pinang di KM 2.5 laluan arah Perai dekat sini Khamis lalu.
Mangsa dikatakan meninggalkan sebuah motosikal di tepi jalan bersama sekeping nota yang tercatat nama, umur dan alamat rumahnya di Teluk Kumbar dekat sini sebelum jatuh kira-kira pukul 11.20 malam. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929