GEORGE TOWN – Polis berusaha mengesan saksi bagi membantu siasatan kes kematian seorang pelayan restoran dan bar yang maut dalam kejadian kebakaran melibatkan dua buah premis di Jalan Kerian di sini petang semalam.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, belum ada sebarang tangkapan suspek dilakukan berhubung kejadian kebakaran yang dilaporkan berlaku pada pukul 3.30 petang itu.
Menurutnya, pihaknya juga masih menunggu proses bedah siasat dilakukan ke atas mangsa wanita berusia 44 tahun itu di Hospital Pulau Pinang (HPP).
“Tiada sebarang perkembangan terkini berhubung motif sebenar kejadian berlaku dan setakat ini belum ada keputusan daripada pakar forensik HPP mengenai proses bedah siasat dilakukan.
“Polis ketika ini sedang giat menjalankan siasatan termasuk mengambil keterangan daripada individu yang mengenali si mati bagi membantu siasatan kes tersebut,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Terdahulu, Soffian memberitahu, pihak bomba memaklumkan terdapat bau kerosin atau minyak tanah di lokasi kejadian tersebut dan siasatan berhubung perkara itu sedang dilakukan.
Semalam, Kosmo! Online melaporkan mayat seorang wanita ditemui di atas katil sebuah bilik tidur utama di tingkat atas premis yang dijadikan penginapan kira-kira pukul 4 petang.
Mangsa dipercayai maut akibat terhidu asap kebakaran melibatkan tiga bilik tidur di aras atas dan sebuah bar di tingkat bawah. – K! ONLINE.