KUANTAN – Seorang jurujual berusia 59 tahun mengalami kerugian RM21,000 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan yang menyamar sebagai pegawai polis dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Asisten Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, kejadian bermula kelmarin selepas mangsa yang berasal dari Jerantut menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang mengaku sebagai pegawai operasi cukai LHDN Cyberjaya.
“Lelaki terbabit memberitahu mangsa mempunyai tunggakan cukai syarikat berjumlah RM58,500.82 yang mana syarikat berkenaan didaftarkan atas nama mangsa di Kota Bharu, Kelantan dan meminta mangsa berhubung dengan pegawai polis dari Ibu Pejabat polis Kontinjen (IPK) Kelantan.
“Mangsa kemudian dihubungkan dengan seorang lelaki lain yang mengaku sebagai pegawai polis berpangkat tinggi dan bergelar datuk,”katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Menurutnya, semasa bercakap dengan indivividu berkenaan, mangsa diberitahu bahawa syarikat yang didaftarkan atas namanya itu terlibat dengan sindiket penggubahan wang haram dan dadah.
Katanya, mangsa kemudian memaklumkan dia tidak pandai berurusan di internet dan ‘pegawai polis’ berkenaan menjelaskan dia akan membimbing mangsa untuk berurusan di bank sebelum mangsa pergi ke bank dan melakukan transaksi pemindahan wang sebanyak RM21,000 ke akaun yang diberikan suspek.
“Pada keesokkan harinya mangsa berasa tidak sedap hati dan membuat semakan di bank dan mendapati memang ada pemindahan wang berjumlah RM21,000 dari akaunnya.
“Mangsa berasa tertipu dan tampil membuat laporan polis berhubung kejadian itu dan kes masih lagi disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,”ujarnya. -K! ONLINE.