SETELAH hampir sebulan drama siri Korea Selatan, Squid Game menjuarai tangga fenomena, populariti dan penangan yang diraih para pelakonnya masih belum menunjukkan tanda-tanda untuk reda.
Menjadi pelakon wanita dengan jumlah pengikut dalam Instagram paling ramai di Korea ketika ini, terbaharu aktres yang juga model Jung Ho-yeon kini dilantik menjadi duta global jenama mewah, Louis Vuitton bagi kategori fesyen, jam dan aksesori.
Lebih manis, pemilihan Ho-yeon dilakukan dan diputuskan sendiri Pengarah Kreatif jenama tersebut, Nicolas Ghesquiere.
“Jujur saya terus jatuh cinta dengan bakat dan keperibadian hebat Ho-yeon.
“Saya tidak sabar untuk memulakan babak baru dalam perjalanan yang kami mulakan di Louis Vuitton beberapa tahun yang lalu bersama Ho-yeon,” tulisnya pada hantaran yang dimuat naik dalam Instagram rasmi jenama mewah tersebut.
Rata-rata peminat memuji kecantikan Ho-yeon mengenakan busana berwarna putih sambil memegang beg tangan berwarna hitam jenama tersebut.
Untuk rekod, Squid Game yang dibintangi pelakon handalan Korea Selatan seperti Lee Jung-jae, Park Hae-soo, Jung Ho-yeon, Lee Byung-hun dan Gong Yoo menceritakan tentang 456 peserta dengan masalah hidup tersendiri direkrut dalam sebuah permainan kanak-kanak yang meragut nyawa.
Squid Game turut mencatat sejarah manis apabila menjadi tempat pertama bagi 90 buah negara yang menggunakan Netflix.