KOTA BHARU – Perantau yang masih belum lengkap dua dos vaksin Covid-19 dinasihatkan agar menangguhkan hasrat untuk pulang ke Kelantan meskipun kerajaan membenarkan pergerakan rentas negeri dalam masa terdekat.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, semua anak Kelantan di perantauan diingatkan agar melengkapkan dos vaksin mereka terlebih dahulu sebelum pulang berjumpa keluarga di sini.
Menurutnya, perkara itu penting dalam usaha bagi mengelakkan penularan jangkitan kepada keluarga atau pesakit kronik sekiranya perantau yang belum divaksin merupakan pembawa jangkitan Covid-19.
“Sehubungan dengan itu, anak Kelantan di perantauan dinasihatkan agar melakukan ujian kendiri Covid-19 sebelum pulang ke kampung halaman bagi memastikan mereka tidak dijangkiti wabak itu.
“Saya mohon agar jangan pulang ke kampung sekiranya mempunyai gejala jangkitan. Semua pihak perlu bertenang apabila keputusan rentas negeri dibenarkan selepas ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Kelantan di Kompleks Belia Dan Sukan Negeri Kelantan, Panji di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad berkata, berdasarkan statistik terkini, kadar vaksinasi di Kelantan sudah mencapai 79 peratus dan ia masih dianggap rendah meskipun kerajaan bakal membenarkan aktiviti rentas negeri tidak lama lagi.
Menurutnya, ia berkemungkinan individu berkenaan berada di luar Kelantan, namun masih mengekalkan alamat mereka di negeri ini.
“Kemungkinan besar mereka sudah menerima dua dos vaksin di luar negeri ini. Keadaan itu juga mungkin menyebabkan jumlah vaksinasi di Kelantan tidak secepat negeri lain walaupun pelbagai program vaksinasi dijalankan ketika ini.
“Saya yakin hasrat dan sasaran kerajaan untuk memperoleh 80 peratus kadar vaksinasi pada pertengahan Oktober ini akan dapat dicapai,” katanya. – K! ONLINE.