fbpx

Hanya 46.8 peratus peruntukan pembangunan asas digunakan tahun ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mustapa pada sidang akhbar selepas menghadiri Sesi Libat Urus Pasca RMK-12 di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu hari ini. - Foto ZULHANIFA SIDEK

KOTA BHARU – Kerajaan hanya membelanjakan kira-kira 46.8 peratus daripada RM39 bilion peruntukan untuk pembangunan asas di seluruh negara sepanjang tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, peruntukan untuk membina pembangunan asas kepada rakyat seperti sekolah, jalan raya dan hospital tidak dapat digunakan sepenuhnya apabila berdepan pelbagai kekangan sepanjang tahun ini.

Menurutnya, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM69 bilion perbelanjaan pembangunan dalam Belanjawan 2021 dengan RM39 bilion daripadanya untuk pembangunan asas.

“Sekarang sudah memasuki bulan Oktober dan kerajaan hanya sempat menggunakan sebanyak 46.8 peratus daripada peruntukan itu.

“Selain daripada penularan jangkitan Covid-19, peruntukan itu tidak dapat digunakan sepenuhnya pada tahun ini kerana berdepan masalah dengan pihak kontraktor, kekurangan buruh, kenaikan kos bahan binaan dan hal ehwal hartanah yang tidak selesai.

“Mengambil contoh di Kelantan, projek pembesaran jalan dari Pasir Puteh ke Melor juga tidak dapat disiapkan mengikut jadual malah pembinaan Hospital Bachok dan Ibu Pejabat Daerah Jeli juga mengalami kelewatan akibat masalah-masalah itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Sesi Libat Urus Pasca Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.

Mengulas lanjut, tegas Mustapa, beliau tidak mahu kelewatan projek pembangunan berlaku lagi pada tahun-tahun akan datang kerana masalah tersebut pada hakikatnya berulang setiap tahun.

“Sehubungan dengan itu, jawatankuasa tindakan negeri yang dipengerusikan oleh Menteri Besar perlu menjalankan pemantauan projek-projek bagi mengelakkan masalah kelewatan pembangunan.

“Jadi, kita tidak mahu perkara ini berulang dan setiap projek pembangunan memerlukan pemantauan rapi,” katanya.-K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI