AKTIVITI rekreasi dan riadah seperti berkhemah dan mendaki bersama keluarga yang sebelum ini dipandang sepi oleh sebilangan orang kini menjadi satu ‘kegilaan’ baharu selepas merentas daerah dibenarkan terutama mereka yang tinggal di Selangor dan Wilayah Persekutuan.
Kalau kita lihat, kini rata-rata kawasan air terjun dan pantai dipenuhi orang ramai yang menjalankan aktiviti berkhemah bersama anak-anak.
Mungkin sudah terlalu lama terperuk ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), menyebabkan mereka seolah-olah membalas dendam dengan memenuhi lokasi-lokasi terbabit bagi melepaskan tekanan.
Difahamkan, pemilik tanah di kawasan pantai dan jeram yang menyewakan tapak perkhemahan tidak menang tangan melayani panggilan pelanggan yang ingin datang camping di situ pada hujung minggu.
Ramai juga yang kecewa disebabkan tapak perkhemahan sudah penuh ditempah. Ada tempahan tapak perkhemahan di banyak tempat sudah penuh sepanjang Oktober. Hebat sungguh penangan PKP hingga minat orang pun berubah.
Bukan setakat di lokasi perkhemahan, premis yang menjual alatan camping turut sesak menjadi ‘mangsa’ serbuan orang ramai.
Penulis sempat ke salah satu premis menjual peralatan sukan dan camping di Shah Alam baru-baru ini mendapati, majoriti orang yang berkunjung ke situ terarah di tempat menjual khemah dan peralatannya berbanding di bahagian sukan.
Ramai yang keluar dari bangunan terbabit membawa khemah atau peralatan camping sesuai dengan bajet masing-masing. Apa yang penting mereka nampak ceria selepas mendapatkan barangan yang diidamkan itu.
Ini menguatkan lagi hujah bahawa fenomena kegilaan camping dalam kalangan orang ramai sudah tidak terbendung lagi pada masa ini.
Mungkin juga fenomena ini disebabkan sempadan negara yang belum dibuka dan orang ramai masih belum boleh melancong ke luar negara.
Ia ada asasnya kerana peralatan untuk camping termasuk khemah, fly sheet, kerusi dan meja lipat boleh tahan harganya dan boleh mencecah ribuan ringgit. Itu tidak termasuk peralatan kecil dan sampingan lain.
Harap-harap situasi ini bukan sekadar hangat-hangat tahi ayam memandangkan aktiviti tersebut adalah baik sebenarnya dalam mengekalkan keharmonian keluarga dan meluangkan masa paling berharga bersama anak-anak.
Jangan pula bila dah boleh melancong ke luar negara, khemah yang sudah dibeli pada harga ‘kayangan’ dibiarkan berhabuk begitu sahaja seperti kata pepatah ‘sudah dapat gading bertuah, tanduk tidak berguna lagi’.
Kalau boleh biarlah aktiviti itu diteruskan pada masa-masa akan datang dan tidak hanya bersifat sementara atau bermusim.