JAKARTA – Seorang wanita jelita menjadi tular di aplikasi TikTok selepas memuat naik video dirinya memakan tarantula peliharaannya yang sudah mati, lapor laman Detik.com semalam.
Menurut video TikTok yang dimuat naik @littletalker, wanita bernama Louisa itu sememangnya gemar melakukan sesuatu yang ekstrem dan memelihara beberapa jenis haiwan eksotik.
“Dalam video saya memakan tarantula itu, ia merupakan tarantula saya yang mati kerana sudah tua.
“Ia mati secara semula jadi, bukan dibunuh,” katanya.
Menurut Louisa, rasa haiwan itu tidak seteruk yang disangka. Disebabkan dia menggorengnya sehingga rangup, rasanya tidak jauh beza dengan ayam goreng tepung.
Aksi gadis itu bagaimanapun menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan netizen.
“Seram dan takut dengan haiwan ini, bagaimana anda boleh memakannya?” tulis seorang netizen.
Video tersebut sehingga kini sudah ditonton lebih 624,000 kali dengan lebih 900 komen. – AGENSI