ISTANBUL – Pemandu Mercedes, Valtteri Bottas akan memulakan saingan petak utama menjelang perlumbaan Formula Satu (F1) di Grand Prix (GP) Turki meskipun rakan sepasukannya, Lewis Hamilton mencatat masa terpantas dalam sesi kelayakan tersebut sebentar tadi.
Hamilton terpaksa menerima keputusan tersebut berikutan pertukaran enjin yang dilakukan pasukannya dan akan memulakan saingan di petak ke-11 di GP Turki malam esok apabila dikenakan penalti 10 petak.
Kelebihan tersebut pasti digunakan pasukan Red Bull terutama dalam perebutan gelaran dunia musim ini apabila Max Verstappen akan memulakan saingan di petak kedua selepas merekodkan masa ketiga terpantas.
“Litar di Turki sangat mengagumkan dan luar biasa. Terima kasih kepada pasukan yang telah melakukan yang terbaik buat kami pada hari ini.
“Kita akan lihat apa yang dapat saya lakukan esok dan mudah-mudahan dapat memberi aksi yang menarik kepada peminat menjelang perlumbaan esok,” kata Hamilton.
Ketika ini, tumpuan terarah kepada pasukan Red Bull dan Mercedes terutama perebutan gelaran dunia selepas Verstappen kini hanya dipisahkan dua mata di belakang Hamilton dalam carta kejuaraan. -AGENSI
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929