HULU TERENGGANU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi jaminan bekalan kit ujian pantas (Antigen) Covid-19 mencukupi menjelang pembukaan semula rentas negeri tidak lama lagi.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, pemantauan pihaknya mendapati kira-kira 6 juta kit ujian pantas itu kini di pasaran negara ini untuk jualan.
“Kita menjangkakan permintaan terhadap kit ujian pantas Antigen Covid-19 akan meningkat mendadak berikutan ia menjadi keperluan sebelum merentas negeri yang akan diumumkan tidak lama lagi.
“Tidak perlu risau kerana bekalannya dijamin mencukupi untuk dibeli pengguna,” katanya ketika ditemui selepas melepaskan acara Kayuhan Santai sempena sambutan Hari Sukan Negara peringkat Hulu Terengganu di sini hari ini.
Kosmo! Rabu lalu melaporkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyarankan individu yang berada di kawasan berisiko tinggi terdedah jangkitan Covid-19 dinasihati menjalani ujian kendiri secara berkala sebelum bersedia balik kampung.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pergerakan rentas negeri akan dibenarkan sebaik kadar vaksinasi dewasa mencapai 90 peratus dan setakat semalam, ia sudah mencapai 89.4 peratus.
Rosol berkata, KPDNHEP juga dalam peringkat terakhir bagi memperluaskan lagi akses jualan kit ujian pantas Antigen Covid-19 di sebanyak mungkin pasar raya besar dan kedai serbaneka di seluruh negara pada masa terdekat.
Jelas beliau, ia bagi memudahkan pengguna membeli kit ujian pantas tersebut yang kini hanya boleh didapati di farmasi dan klinik. – K! ONLINE