PELUANG gilap bakat ke pentas Eropah sekali lagi menjadi tumpuan apabila seramai 13 pelumba cilik akan merebut slot beraksi pada Kejohanan Siri Dunia FIM MiniGP yang berlangsung di Valencia, Sepanyol pada 9 hingga 10 November depan.
Menjelang perlumbaan empat pusingan yang bermula Sabtu dan Ahad ini, 13 pelumba berusia 11 hingga 14 tahun itu akan berentap dengan menggunakan jentera Ohvale 160cc.
Bagaimanapun, hanya tiga pelumba terbaik sepanjang empat pusingan pada perlumbaan hujung minggu ini akan terpilih untuk beraksi di Valencia nanti.
Pengurus pasukan ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin yang mengendalikan kejohanan itu berkata, pihaknya teruja untuk melihat pelumba-pelumba cilik berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.
“Saya berasa amat teruja untuk memulakan musim 2021 kerana FIM MiniGP Malaysia Series akan menjadi perlumbaan utama dan SIC Ohvale Junior Championship akan menjadi perlumbaan sokongan.
“Saya melihat perlumbaan MiniGP sudah berkembang di seluruh dunia bermula dari tahun lepas sehingga kini serta pada tahun ini FIM telah melahirkan FIM MiniGP World Series.
“Kami sangat teruja untuk menyertai program ini di mana ia julung-julung kali diadakan di negara kita. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS), SIC dan juga MAM serta Ohvale kerana menyokong program ini.
“Saya yakin kami akan melahirkan pelumba-pelumba yang terbaik dan berkualiti dari program ini,” kata Zulfahmi.
Setiausaha Agung Persatuan Sukan Permotoran Malaysia (MAM), Muizz Azli pula berkata, kejohanan tersebut merupakan satu platform kesinambungan atau laluan program pembangunan ke MotoGP.
“Kejohanan MiniGP adalah kesinambungan kepada perlumbaan Asia Talent Cup Cup, CEV Spanish Championship dan seterusnya adalah MotoGP.
“MAM juga ingin berterima kasih kepada Datuk Razlan Razali yang mengemukakan idea ini kepada pihak Dorna dan FIM untuk pembangunan bakat muda yang mungkin mewakili negara di kejohanan peringkat dunia suatu hari ini,” ujarnya.