fbpx

SPRM jumpa Idris ambil maklumat, dokumen dakwaan royalti pasir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Shahril ketika ditemui media pada Solat Jumaat Sempena Sambutan Ulang Tahun BPR/SPRM Ke 54 bertemakan ‘Semarakkan Integriti, Rasuah Diperangi’ di Masjid Al Azim di sini sebentar tadi.

MELAKA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan telah berjumpa dan mengambil maklumat serta beberapa dokumen membabitkan isu royalti pasir dengan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron, semalam.

Pengarah SPRM Melaka, Mohd. Shahril Che Saad berkata, pengumpulan maklumat secara lisan dan dokumen itu dilakukan selama dua jam bermula kira-kira pukul 3 petang oleh tiga pegawai SPRM di sekitar negeri ini.

Jelasnya, kesemua maklumat tersebut bagaimanapun diserahkan kepada pihak ibu pejabat SPRM untuk dianalisa dan diperincikan sebelum tindakan atau siasatan lanjut dilakukan.

“Saya mengesahkan, pihak SPRM telah berjumpa dengan beliau (Idris Haron) dan telah mengambil beberapa maklumat secara lisan dan beberapa dokumen yang ditunjukkan.

“Maklumat itu telah dihantar kepada pihak pengurusan tertinggi di ibu pejabat untuk dianalisa dan diperincikan. Kami di sini hanya membantu susulan kejadian berlaku di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Solat Jumaat Sempena Sambutan Ulang Tahun BPR/SPRM Ke 54 bertemakan ‘Semarakkan Integriti, Rasuah Diperangi’ di Masjid Al Azim di sini sebentar tadi.

Mengulas lanjut mengenai perjumpaan individu lain dalam kes tersebut, beliau berkata perkara itu juga akan diputuskan oleh pengurusan di pusat.

“Kompleksiti maklumat ini agak tinggi, jadi semua tindakan lanjut akan ditentukan oleh ibu pejabat.

“Setakat ini, tindakan SPRM semalam juga lebih kepada berjumpa dengan beliau untuk mengambil maklumat, bukan keterangan. Kalau keterangan, ini bermakna kita menyiasat dia,” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI