MILAN – Pengendali Sepanyol, Luis Enrique berpuas hati dengan penampilan pasukannya sambil menyifatkan pemain muda berusia 17 tahun, Gavi adalah bintang ‘masa depan’ selepas berjaya menewaskan Itali 2-1 semalam.
Pada usia 17 tahun 62 hari, pemain tengah, Gavi dipanggil untuk bersama skuad Sepanyol untuk membantu pasukannya itu melakar kemenangan sekali gus meleburkan rekod 37 tanpa kalah Itali di San Siro.
Meskipun berdepan dengan pemain berpengalaman seperti Marco Verratti dan Jorginho, namun Gavi dilihat tidak gugup selain tampil cukup baik ketika bergandingan bersama pemain senior.
“Lihat betapa bagus aksi apabila seorang pemain muda dipanggil menyarung jersi Sepanyol. Karakter yang dia bawa dalam perlawanan itu cukup baik untuk membantu pasukan mencatat kemenangan.
“Dia akan menjadi pemain masa depan buat pasukan Sepanyol dan selepas apa dia pamerkan di sepanjang perlawanan tersebut, saya percaya dia akan terus berjaya.
“Dia seorang pemain yang mempunyai pakej yang lengkap dan saya yakin sekiranya di berikan peluang seperti ini lagi, Sepanyol mempunyai barisan pemain muda terbaik pada masa akan datang,” katanya.
Pada saingan tersebut, dua gol yang diledakkan Ferran Torres pada babak pertama memastikan kemenangan buat Sepanyol.
Kemenangan itu, menyaksikan skuad La Roja mara ke perlawanan akhir saingan Liga Negara-Negara Eropah yang dijadual berlangsung pada awal pagi Isnin nanti. – AGENSI