fbpx

Sekatil boleh, semeja tidak!

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

ALHAMDULILLAH dengan perkembangan terkini, jumlah kes baharu harian positif Covid-19 semakin menurun. Kes-kes kemasukan ke hospital dan unit rawatan rapi (ICU) juga semakin berkurang.

Para petugas barisan hadapan khususnya pasukan perubatan pula kelihatan kembali menarik nafas lega. Mereka tidak lagi seperti beberapa bulan lalu terpaksa menyaksikan kematian demi kematian setiap hari.

Agak-agaknya penggali kubur juga sudah boleh berehat sedikit. Menguruskan destinasi akhir seorang insan adalah tugas hakiki mereka tetapi menguruskan deretan mayat pastinya menjadi satu peristiwa yang tidak mungkin dilupakan sepanjang hayat mereka.

Begitu juga perkembangan vaksinasi yang begitu memberangsangkan. Kini rakyat ternanti-nanti pengumuman ‘kemerdekaan’ untuk balik ke kampung sebaik sahaja vaksinasi dewasa mencapai 90 peratus.

Balik kampung kini menjadi satu nikmat yang tidak terhingga apabila sekian lama pintu sempadan negeri ditutup. Demi menjaga kemaslahatan kesihatan khususnya golongan ibu bapa di kampung halaman majoriti rakyat mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Kepada yang kaki ‘langgar’, itu terpulang kepada diri masing-masing. Hanya kerana kita seorang, habis satu kampung kena kuarantin. Tidak cukup itu, ada yang terpaksa bertarung nyawa di wad ICU. Malah ada yang tewas, kini hanya tinggal nama, batu nisan dan kenangan.

Sebelum diumumkan ‘kemenangan awal’ balik kampung. Pak menteri pun dah ingatkan, syarat utama kelak ialah mesti melakukan ujian calitan kendiri untuk memastikan agar mereka yang balik ke kampung tidak membawa sekali virus korona ini.

Malangnya, belum ada kebenaran lagi difahamkan geng-geng ‘langgar’ ni dah berduyun-duyun balik ke kampung. Nampaknya, rakyat kita sangat mudah lupa.

Selain nikmat balik kampung, rakyat kini telah memperoleh semula nikmat makan dan minum di restoran, kafe atau kedai makan. Menikmati hidangan teh tarik, roti canai, nasi lemak dan sebagainya sudah sinonim dengan budaya masyarakat hari ini.

Berbulan-bulan juga terpaksa membungkus apa sahaja juadah, silap percaturan nasi kandar bila bawa balik ke rumah atau pejabat dah jadi macam bubur. Almaklum pekerja kedai terlebih semangat menyiram kuah campur. Suka atau tidak terpaksalah telan juga.

Namun, kini sedikit terkilan dengan prosedur operasi standard (SOP) di kedai makan ini apabila suami isteri yang berkongsi katil dan anak-anak yang tinggal serumah, satu kereta tetapi apabila masuk ke restoran tidak dibenarkan duduk semeja.

Peliknya kepada ibu bapa yang bawa anak-anak bawah umur (pastinya belum vaksin) dibenarkan pula berhimpit-himpit satu meja. Penulis beberapa kali berdepan situasi ini apabila melihat kehampaan beberapa keluarga terpaksa keluar dari restoran kerana tidak dibenarkan duduk bertiga di satu meja.

Eloklah pihak bertanggungjawab selesaikan isu ini. Kita tidak menolak norma baharu serta SOP bagi mengawal dan mengekang wabak tetapi biarkan logik dan bersesuaian dengan keadaan.

Ibarat ‘lapuk-lapuk diganti, usang-usang dibaharui’. Norma baharu kehidupan tidak sewajarnya mengubah kita menjadi pelik dan kelihatan tidak cerdik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI