SEAWAL pukul 6 pagi ketika sinar mentari masih belum muncul, seorang lelaki yang menghuni salah sebuah desa di Jawa Barat, Indonesia sudah sibuk memilih buku-buku.
Rudiat memasukkan puluhan buku yang telah dipilih ke dalam dua kotak pada bahagian belakang motosikal yang turut memuatkan beberapa bungkus tauhu.
Lantas Rudiat menunggang motosikalnya menuju ke beberapa kampung di sekitar daerah Cimaung. Begitulah rutin harian Rudiat sejak sedekad lalu, menjalankan perniagaan tauhu menggunakan motosikal sebagai sumber rezekinya.
Pada masa sama, lelaki berusia 43 tahun itu membawa misi besar sewaktu menjalankan perniagaan. Dia berharap mampu memupuk minat membaca dalam masyarakat, terutamanya kanak-kanak.
Modus operandinya sangat mudah, setiap kali pelanggan membeli tauhu, Rudiat akan meminjamkan sebuah buku kepada mereka.
“Saya bawa buku-buku yang sesuai dengan mereka. Sekiranya berkunjung ke desa yang majoritinya golongan penternak, saya akan bawa buku-buku berkaitan penternakan seperti cara memelihara kambing.
“Sebaliknya, jika berkunjung ke kawasan yang ramai golongan wanita berkeluarga, saya pinjamkan mereka buku-buku mengenai topik perkembangan kanak-kanak,” jelasnya kepada agensi berita CNA baru-baru ini.
Pendapatan hasil jualan tauhu Rudiat adalah sekitar 1.5 juta rupiah (RM440) sebulan iaitu lebih rendah daripada gaji purata penduduk Jawa Barat iaitu 1.8 juta rupiah (RM527).
Bagaimanapun, ia bukan penghalang buat Rudiat untuk memperuntukkan 25 peratus daripada pendapatan bulanannya, sekitar RM110 untuk membeli buku.
Selama lebih 25 tahun berniaga, Rudiat telah membeli sekitar 3,500 buah buku. Sebanyak 2,500 naskhah lagi telah disumbangkan oleh orang ramai selepas mengetahui kerja sukarela yang dilakukannya itu.
“Saya dikenali sebagai tauhu buku. Di mana ada tauhu, di situ ada buku. Buku menjadikan kita pandai dan tauhu membuatkan tubuh sihat,” ujarnya lagi.
Kerja sukarela yang bermula secara kecil-kecilan itu berjaya membuahkan hasil apabila semakin ramai menunjukkan minat untuk membaca.
Bahkan, ada daripada pembaca yang sanggup memberitahu jenis bahan bacaan diinginkan mereka sehari sebelum kedatangan Rudiat.
Lelaki itu juga sanggup menempuh perjalanan sejauh 20 hingga 30 kilometer semata-mata untuk menjual tauhu dan meminjamkan buku buat penduduk di sebuah ladang teh terletak berhampiran Pangalengan.
Mengimbau kembali perjalanan hidupnya, Rudiat memaklumkan, dia dibesarkan oleh ibunya seorang ibu tunggal yang tidak mempunyai kerja tetap.
Dia memaklumkan, selepas lulus kelas empat, lelaki berkulit sawo matang itu terpaksa berhenti sekolah disebabkan masalah kewangan.
“Dahulu, kanak-kanak di kampung selalu mengejek saya. Mereka mengutuk saya kerana tidak dapat pergi ke sekolah,” ujarnya.
“Ejekan itu tidak pernah membuatkan saya berkecil hati. Sebaliknya, saya bertekad untuk berjaya meskipun gagal menamatkan persekolahan seperti orang lain,” tegasnya.
Selepas menginjak usia 19 tahun, dia memulakan perniagaan tauhu. Sebagai seorang Muslim sejati, dia memasang niat untuk berzakat dengan menggunakan 25 peratus daripada pendapatan untuk membeli buku.
Niat awal Rudiat, dia mahu membaca buku yang dibawa selepas barang jualannya habis.
Selepas ada yang berminat terhadap buku dibacanya, dia memilih untuk meminjamkannya kepada mereka.
“Saya mahu menunjukkan bahawa saya boleh memajukan diri dengan membaca,” jelasnya.
Rudiat bertemu cinta hati dengan seorang gadis lepasan ijazah yang juga gemar membaca. Setelah bernikah, masing-masing membawa sejumlah buku ke kediaman baharu.
Katanya, sewaktu kehilangan mata pencarian pada awal tahun 2000, isterinya sanggup memperuntukkan sebahagian kecil gajinya sebagai pekerja kilang untuk membeli buku.
Ketika itu, koleksi buku Rudiat kian bertambah sehingga menyebabkan penduduk di kawasan kejiranan sering datang ke rumah untuk meminjamnya.
Memandangkan kadar celik huruf di Jawa Barat mencecah 100 peratus, Rudiat berpendapat, penduduk di tempat lain juga tertarik untuk membaca buku yang dibawanya.
Situasi tersebut menyebabkannya meluaskan pinjaman kepada penduduk di kawasan lain.
“Pada awalnya, tidak ramai yang berminat meminjam buku. Lantas, saya mendekati golongan kanak-kanak dengan memberi mereka tauhu sekali gus meminjamkan buku bersesuaian.
“Lama-kelamaan, semakin ramai yang mula meminjam buku dengannya. Saya dapati keinginan membaca berkait rapat dengan jenis bahan bacaan,” jelasnya yang turut mengalami masalah buku tidak dipulangkan.
Kerja keras dilakukan oleh Rudiat akhirnya terbalas apabila ia menarik perhatian pemerintah di Bandung yang membantu lelaki berhati mulia itu membina sebuah perpustakaan kecil di sebelah rumahnya.
Malah, dia ditawarkan menjadi duta dalam usaha meningkatkan kadar celik huruf serta memupuk minat membaca dalam kalangan kanak-kanak di sekitar Bandung.
Menariknya, Rudiat telah mendapat biasiswa daripada Kementerian Pendidikan pada 2017 bagi membolehkannya melawat Singapura serta menulis mengenai hasil pemerhatian di sana.
Malangnya, Rudiat terjatuh dari motosikal dan mengalami kecederaan pada lengan dan dadanya sewaktu menuju ke pusat imigresen untuk membuat pasport. Kemalangan itu menyebabkan impiannya ke Singapura terpaksa ditangguhkan.
Pada tahun 2017, Rudiat telah mendapat kejutan terbesar dalam hidupnya apabila pembantu kepada Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) menghubunginya untuk diundang ke istana bagi meraikan Hari Pendidikan Nasional bersama aktivis lain.
“Sewaktu mendapat panggilan, saya fikir ada orang bergurau. Selepas melihat kelibat presiden di depan mata, saya berasa seperti bermimpi bertemu Presiden Jokowi.
“Sewaktu memutuskan untuk fokus pada dunia pembacaan, saya tidak pernah membayangkan untuk mendapat banyak perhatian sehingga undangan ke Singapura dan bertemu presiden.
“Ia sangat di luar jangkaan, impian saya pernah terkubur selepas terpaksa berhenti sekolah,” jelasnya lagi.
Kini, Rudiat memasang impian untuk memiliki sebuah sekolah yang dapat memberi manfaat kepada ramai kanak-kanak pada masa depan.