MELAKA – Pakatan Harapan (PH) Melaka akan menyerahkan dokumentasi untuk pemfailan semakan proses dan fakta keabsahan keputusan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) kepada mahkamah, minggu hadapan.
Pengerusinya, Adly Zahari ketika dihubungi pemberita hari ini memberitahu, pihaknya kini sedang melengkapkan maklumat diperlukan sebelum diserahkan bagi penilaian perundangan.
“Sekarang kita (PH Melaka) sedang mengumpul maklumat berkaitan dan insya-Allah akan failkan kes itu minggu hadapan,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata setakat ini pihaknya masih belum menerima sebarang panggilan daripada Istana Melaka untuk pertemuan dengan Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam.
“Bagaimanapun kami berharap dapat menghadap Tun dalam masa terdekat bagi membincangkan segala yang berlaku dan dapat keluar daripada permasalahan ini.
“Kalau ada ruang lain, kita harap akan digunakan untuk stabilkan politik negeri ini,” katanya.
Tinjauan Kosmo! setakat pukul 10 pagi tadi mendapati tiada sebarang pergerakan di pintu utama Istana Melaka. -K! ONLINE