PETALING JAYA – Penyanyi rap dan aktivis kemanusiaan, Caprice mengakui perubahan emosi termasuk panas baran yang dialaminya selama ini berpunca daripada penyakit hipertiroid.
Pemilik nama lengkap, Ariz Ramli, 33, mendedahkan perkara itu menerusi video dalam InstaStory miliknya baru-baru ini.
“Ini memang gila! Selama ini saya fikir perubahan emosi atau baran adalah disebabkan masalah anxiety (keresahan) atau tekanan.
“Padahal, selama ini semuanya disebabkan hipertiroid. Justeru, saya reda akhirnya dapat tahu semua ini,” kata pelantun lagu Lenglui itu.
Kata Caprice lagi, dia sudah menerima kenyataan dengan takdir hidupnya, namun harus kuat untuk bangkit.
“Insya-Allah, saya akan hadapi semua ini dengan baik dan tidak sabar untuk kembali sembuh seperti sedia kala.
“Saya mahu bekerja seperti biasa kerana banyak perkara yang perlu diselesaikan. Saya jatuh (rugi) teruk, namun berharap dapat terus bangkit,” ujar Caprice.
Caprice bagaimanapun akur apabila doktor menyarankan dia supaya berehat di hospital selama seminggu bagi tujuan pemantauan.
Ujar Caprice, perniagaannya ketika ini jatuh merudum, namun berjanji untuk memastikan semuanya kembali pulih seperti sedia kala sedikit masa lagi.
Pada Isnin lalu, Caprice dikejarkan ke sebuah pusat perubatan di ibu negara dan pelantun lagu Takde Hal Bro itu memaklumkan, doktor mengesahkan dia mengalami tanda awal hyperthyroidism iaitu kelenjar tiroid terlalu aktif menghasilkan lebih hormon dan metabolisme meningkat.
Menerusi video yang dimuat naik, Caprice mengesahkan dia menghidap penyakit itu.
Caprice mula menjadi perhatian atas pelbagai isu termasuk soal keselamatan dan perang dinginnya bersama seorang pendakwah popular rentetan misi kemanusiaan di Gaza beberapa bulan lalu.
Impak tekanan itu, dia menerima lebih 60 ugutan bunuh sehingga memaksanya membuat laporan polis. Kes itu dirujuk kepada Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman.