KUALA LUMPUR – Seorang mekanik didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan rompakan bersenjata ke atas sebuah kedai emas membabitkan kerugian RM600,000 Mei lalu.
Bagaimanapun Ahmad Effie Ahmad Shazaki, 26, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Mahyon Talib.
Mengikut pertuduhan Ahmad Effie didakwa bersama-sama dua lagi individu yang masih bebas melakukan rompakan berkumpulan bersenjatakan sebilah kapak, tukul dan parang ke atas pemilik sebuah kedai emas dengan kerugian berjumlah RM600,000 di sebuah premis kedai emas di Wangsa Maju di sini pukul 4.43 petang pada 16 Mei lalu.
Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dibaca bersama 397 kanun sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda atau sebat atau dengan mana-mana dua daripada seksaan itu, jika sabit kesalahan.
Dalam prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Abdul Khaliq Nazeri tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin.
“Namun sekiranya mahkamah membenarkan jaminan, pihak pendakwaan mengesyorkan jaminan RM30,000, ” kata Abdul Khaliq.
Bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah kerana perlu menanggung keluarga.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM20,000 berserta syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali, tidak mengganggu saksi-saksi pendakwaan.
Tarikh 24 November ini ditetapkan untuk sebutan semula kes. -K!ONLINE