fbpx

Meerqeen ketepikan cinta kejar impian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MEERQEEN

BAKAT semula jadi dalam lakonan berserta pakej lengkap yang dikurniakan Tuhan buat jejaka muda berumur 20 tahun ini tidak boleh dinafikan lagi.

Biarpun masih hijau dalam gelanggang seni hiburan, nama Meerqeen perlahan-lahan menjadi perhatian peminat.

Lakonan mantapnya sebagai anggota polis menerusi drama Angkara Cinta terbitan Astro menjadi satu lonjakan melambungkan popularitinya ke tahap lebih tinggi.

Dari situ, bakat terpendam yang mengalir dalam pembuluh darah pucuk muda kelahiran Kuala Lumpur itu semakin diintai banyak rumah produksi dan karyawan dalam industri.

Wajah kacak yang mula menghiasi layar kaca televisyen juga turut disunting menjadi penghias wajah bagi beberapa jenama mewah terkenal.

Benar kata orang, kalau sudah rezeki, pasti tidak akan ke mana dan tiba tepat pada waktunya. Saat nama kian terukir, satu lagi peluang keemasan terbuka buat Meerqeen.

MEERQEEN bersyukur cita-cita asalnya untuk bergelar penyanyi tercapai apabila hadir dengan single pertama, Menunggu.

Kini, cita-cita awalnya untuk bergelar penyanyi bukan lagi satu angan-angan.

“Mungkin ramai yang tidak tahu, semasa mula-mula menceburi bidang hiburan, cita-cita asal saya ialah mahu bergelar penyanyi.

“Malah, kalau nak tahu, saya sudah menyanyi sejak di bangku sekolah lagi. Namun rezeki lakonan lebih awal berkunjung tiba.

“Alhamdulillah, berkat perancangan pasukan saya, akhirnya muncul juga single perdana, Menunggu yang membawa mesej mengenai kesetiaan seorang lelaki terhadap cinta,” katanya membuka bicara bersama HibGlam baru-baru ini.

Berbicara lanjut, pemilik nama sebenar Muhammad Shameer Shauqeen Saiful Izam itu memberitahu, dia bersyukur atas satu lagi kejayaan dan rezeki yang ditakdirkan kepadanya kini.

MENGAKUI masih hijau dalam arena suara, Meerqeen berjanji untuk terus belajar dan memantapkan kualiti vokal sedikit masa lagi.

Kecewa, ditinggalkan

Meneruskan perbualan, anak saudara kepada penyanyi era 1990-an, Safura Yaacob itu memberitahu, Menunggu berkisarkan pengalaman sendiri yang pernah ditinggalkan kekasih dua tahun lalu.

Bukan sekali, bahkan tiga kali Meerqeen berdepan situasi putus cinta.

“Pengalaman ditinggalkan kekasih beberapa tahun lalu betul-betul membuatkan saya kecewa dan serik untuk kembali bercinta.

“Seingat saya, pernah tiga kali saya bercinta. Dua daripadanya hanyalah cinta monyet, manakala hubungan ketiga mampu bertahan untuk tempoh dua tahun ketika berusia 18 tahun.

“Saya terpaksa mengambil masa dua tahun merawat luka dan kesedihan selepas berpisah hingga membuatkan saya rasa malas dan muak untuk bercinta lagi,” katanya.

Bagi Meerqeen, prinsipnya dalam percintaan hanyalah satu iaitu untuk mengemudi hubungan yang terjalin sehinggalah ke fasa mahu bersama untuk selama-lamanya.

Cerita Meerqeen lagi, selepas dua tahun ditinggalkan, bekas kekasihnya merayu untuk kembali bersama.

“Selepas saya menceburi bidang seni, dia datang mencari saya semula. Namun, tidak semudah itu saya dapat menerimanya kembali selepas apa yang dilakukan kepada saya.

“Cukuplah. Lagi pun saya mahu memberikan fokus sepenuhnya kepada kerjaya seni yang saya lebih cintai sekarang ini,” ujarnya.

BUAT masa ini Meerqeen mengambil pendekatan untuk mengetepikan seketika soal cinta kerana mahu memberikan fokus terhadap kerjaya seni.

Belum yakin

Ditebak mengenai keyakinan dan persediaannya untuk menyanyi secara langsung, Meerqeen mengakui dia sebenarnya masih belum bersedia dan tidak berkeyakinan tinggi untuk itu.

Baginya, dia perlu lebih banyak belajar terutama mengenai aspek keyakinan diri ketika membuat persembahan di depan khalayak.

Tegasnya, dia bukanlah seorang penyanyi profesional dan masih banyak lagi perlu dipelajari untuk menjadi yang terbaik.

“Jujurnya, saya belum yakin untuk menyanyi secara ‘live’. Malah, persediaan saya setakat ini boleh dikatakan berada pada 40 peratus sahaja.

“Berilah saya sedikit masa untuk memperbaiki cara dan teknik nyanyian, lagipun sebelum ini pun, saya sempat berguru selama dua minggu bersama penyanyi Bob Yusuf sebelum masuk ke studio dan merakam lagu.

“Saya janji dan tetap akan bawakan single Menunggu secara ‘live’, tetapi bukanlah sekarang,” ujarnya sambil tertawa seraya menepis dakwaan dia hanya menjual rupa semata-mata berbanding kualiti vokal.

Katanya, walaupun sudah berjinak-jinak dalam dunia nyanyian, lakonan tetap menjadi fokus dan keutamaan untuk memacu nama sebagai anak seni.

Ujar Meerqeen lagi, dia sudah bersedia untuk menerima segala kecaman dan kritikan mendatang dan akan mengambilnya sebagai satu perihal positif untuk terus mengukuhkan jenamanya.

DALAM soal cinta, penyandang tempat ketiga Hero Remaja 2020 ini menegaskan dia jenis lelaki yang setia dan suka merancang soal masa depan serta hala tuju dalam sebuah perhubungan.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI