PETALING JAYA – Mangsa serangan gangguan seksual di sebuah kedai vape memohon agar tidak dikecam dan meminta orang ramai untuk membaca terlebih dahulu kisah penuh kejadian yang menimpa dirinya baru-baru ini.
Mangsa, melalui satu hantaran di laman Instagramnya berkata, walaupun tahu ramai pihak mengecam dirinya susulan perkara tersebut, dia berterima kasih kerana ramai juga orang yang memberi sokongan.
“Hantaran penjelasan mengenai kejadian itu telah dipadam oleh Instagram, saya tidak tahu siapa yang laporkan hantaran itu. Mungkin saya tidak akan post (hantarann) lagi sebab berapa banyak pun saya post akan dipadam.
“Tetapi, masih ada hantaran di highlight story (mengenai kejadian),” katanya di sini.
Selain itu katanya, dia berharap agar orang ramai tidak membuat kesimpulan sendiri di sebalik kejadian yang kini sedang disiasat polis.
Berita berkaitan: Wanita trauma, tangan dijilat ‘abang askar’
“Saya harap netizen rajin-rajinkanlah membaca sebelum buat kesimpulan. Saya tak mampu nak balas DM (mesej) semua. Tapi saya tahu, ramai yang kecam tapi lagi ramai yang sokong.
“Terima kasih semua yang beri sokongan dan doakan urusan saya dipermudahkan. Semoga urusan awak semua pun dipermudahkan,” ujarnya.
Berita berkaitan: Abang askar buat gangguan seksual ketika beli vape
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan seorang askar dilihat mencemari kredibiliti sebagai anggota keselamatan apabila dia didakwa melakukan serangan gangguan seksual terhadap seorang jurujual wanita berusia 18 tahun di sebuah kedai vape.
Melalui satu televisyen litar tertutup kelihatan, askar terbabit bukan sahaja dilihat memegang tangan jurujual wanita itu ketika mahu merasai perasa vape,malah turut bertindak menghisap jari mangsa.
Susulan kejadian itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak semalam berkata, lelaki berusia 26 tahun itu telah diberkas pukul 12.30 tengah malam oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Ampang Jaya dan kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana cabul. – K! ONLINE