GENGGAM bara api, biar sampai jadi arang.
Itulah peribahasa yang sesuai untuk menggambarkan kecekalan Nur Afifah Hazirah Azmin, 32.
Dia kini boleh tersenyum setelah berjaya dalam bidang diceburi sebagai perunding unit amanah.
“Saya terlibat dalam bidang ini setelah berkawan dengan mentor saya sendiri iaitu Norazlin Ahmad Mokhtar.
“Saya tertarik dengan pencapaian yang dikecapinya. Pada masa sama, dia memberi inspirasi kepada saya untuk terlibat dalam bidang ini,” jelasnya yang mesra dengan panggilan Fifa.
Menurutnya, dia bermula dengan kosong dan tiada sebarang pengalaman dalam bidang tersebut memandangkan pada ketika itu, dia masih bergelar seorang guru.
Namun, dia memberanikan diri untuk mencuba.
Pada bulan Ogos 2019, Fifa mencuba nasib menjadi perunding unit amanah secara sambilan.
Tanpa disangka-sangka bulan pertama dia terlibat dalam bidang itu, komisyen yang diterimanya membolehkan dia menghantar ibunya, Azizah Nachar Aminsa mengerjakan ibadah umrah.
Tanpa menoleh ke belakang, pada awal tahun 2020 dia mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai guru dan memberi fokus untuk menjadi perunding unit amanah secara sepenuh masa.
“Arwah ayah dan ibu merupakan bekas guru. Jadi mereka mahu saya juga menjadi seorang guru. Saya telah merealisasikan impian mereka dengan menjadi guru selama lebih lima tahun.
“Melepaskan jawatan sebagai seorang guru merupakan antara keputusan yang berat dilakukan. Saya ada impian besar dan mahu mengejar impian dalam bidang ini,” jelasnya yang merupakan anak sulung daripada tujuh adik- beradik.
Dalam pada itu, Fifa menjelaskan, tidak dapat dina kan pada awal penglibatannya sebagai perunding unit amanah, agak sukar baginya untuk mencari dan meyakinkan pelanggan untuk melabur dalam produk unit amanah yang ditawarkan.
Tetapi dia bernasib baik kerana mendapat mentor yang tepat dan banyak memberi tunjuk ajar kepadanya.
“Kita kena ada mentor dalam sesuatu perkara yang dilakukan. Saya amat bertuah kerana mempunyai mentor yang banyak pengalaman dalam bidang ini.
“Tidak dapat dinafikan apabila menjadi perunding unit amanah, kita sering berdepan dengan pelbagai ragam pelanggan termasuk membatalkan pelaburan pada saat akhir.
“Namun, itu semua telah mengajar saya untuk memperbaiki diri ke arah lebih baik,” ujarnya.
Tambahnya, dia menggunakan cara menukar kad dengan orang yang tidak dikenali dan daripada situ, dapat menambah prospek pelanggan.
Pada tahun pertama Fifa menjadi perunding unit amanah secara sepenuh masa, dia berjaya menjual unit amanah sebanyak RM10 juta kepada pelabur persendirian walaupun negara berada dalam keadaan pandemik Covid-19.
Bagi tahun ini, dia meletakkan sasaran untuk mengumpul jualan unit amanah sebanyak RM100 juta daripada sektor korporat dan juga pelabur persendirian.
Selain menjadi perunding unit amanah, Fifa turut mengembangkan portfolionya apabila menjadi perunding takaful pada tahun ini.
Apa yang lebih membanggakan, bulan kedua menjadi perunding takaful, dia telah menerima anugerah First Lady Million Dollar Round Table (MDRT).
Dalam pada itu, Fifa menjelaskan, keputusannya melepaskan jawatan sebagai guru untuk menjadi perunding unit amanah dan perunding takaful cukup tepat kerana berasakan dia mempunyai tanggungjawab besar untuk keluarga.
“Setelah ayah meninggal dunia, saya rasa tanggungjawab sebagai anak sulung amat besar sekali dalam membantu keluarga.
“Atas sebab itu, saya ingin berjaya dalam bidang ini dan membantu keluarga kerana masih ada adik yang masih bersekolah,” tegasnya.
Sementara itu, berbicara tentang hobinya pada masa lapang, Fifa menjelaskan, dia gemar melakukan aktiviti berbasikal dan berjoging.
Tegasnya, aktviti tersebut bukan hanya memberi ruang kepadanya untuk beriadah bagi mengurangkan tekanan kerja, tetapi turut menjadi salah satu cara buatnya untuk mencari prospek pelanggan.