GEORGE TOWN – Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam laut dari Jambatan Pulau Pinang di Kilometer 2.5 laluan arah Perai dekat sini malam tadi.
Lelaki berusia 25 tahun itu dikatakan meninggalkan sebuah motosikal di tepi jalan sebelum jatuh kira-kira pukul 11.20 malam.
Pengarah Maritim negeri, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, sebaik menerima maklumat dari Maritme Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi, Maritim Malaysia Pulau Pinang telah menggerakkan Bot Perkasa 1221 ke lokasi kejadian untuk melakukan pencarian.
Beliau berkata, sebuah motosikal telah ditemui di atas jambatan dipercayai milik mangsa bersama sekeping nota.
“Berdasarkan nota tersebut, maklumat mangsa adalah seorang lelaki berumur 24 tahun dan beralamat di Pangsapuri Kejora Teluk Kumbar.
“Operasi mencari dan menyelamat yang mula diaktifkan tengah malam tadi turut membabitkan pasukm Jabatan Bomba Dan Penyelamat serta Polis Marin Batu Uban,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, beliau berkata, orang awam diminta melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut dengan menghubungi talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146. – K! ONLINE