fbpx

Ketiadaan tonggak JDT punca kalah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ALI OLWAN (tengah) mengawal bola sambil dikejar dua pemain Malaysia pada aksi persahabatan antarabangsa di Stadium King Abdullah II, Amman malam kelmarin. – JFA

KETIADAAN beberapa tonggak Johor Darul Ta’zim (JDT) menyaksikan skuad bola sepak kebangsaan menampilkan aksi kurang memberangsangkan ketika dibelasah 0-4 oleh Jordan dalam aksi persahabatan di Stadium King Abdullah II, Amman malam kelmarin.

Kerapuhan benteng pertahanan serta kesilapan yang dilakukan pemain-pemain Harimau Malaya menyaksikan penyerang tuan rumah, Ali Olwan meledak hatrik manakala satu lagi gol dijaringkan Odai Al-Saify.

Bekas jurulatih skuad kebangsaan, B. Sathianathan tanpa berselindung mengakui, skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu mampu menampilkan aksi lebih baik sekiranya dibarisi beberapa tonggak JDT seperti Matthew Davies, Corbin Ong, Safawi Rasid dan Mohamadou Sumareh.

Bagaimanapun, beliau tetap memuji keberanian Cheng Hoe yang mempertaruhkan ramai muka baharu biarpun perbezaan ketara dapat dilihat jika diban­dingkan dengan skuad sebelum ini.

“Inilah kenyataan, memang pasukan kita perlukan pemain-pemain JDT kerana mereka adalah yang terbaik serta beraksi bersama pasukan terbaik di Malaysia. Memang sangat jauh berbeza aksi mereka (tanpa tonggak JDT).

“Saya tidak terkejut dengan keputusan serta aksi yang ditampilkan oleh pasukan negara. Sudah terbukti, pemain yang sering dikutuk oleh netizen inilah yang banyak memperkukuhkan pasukan Harimau Malaya,” katanya.

Beliau yang membimbing skuad kebangsaan pada 2007 hingga 2009 turut menggesa Harimau Malaya supaya tidak membuat keputusan berdasarkan komen-komen orang ramai di media sosial kerana ia mampu beri kesan kepada pasukan.

“Jangan diikutkan sangat cakap netizen ini kerana ia boleh memakan diri sendiri. Kita biarkan orang-orang yang layak dalam bola sepak membuat keputusan untuk pasukan.

“Saya harap Harimau Malaya jangan pedulikan kata-kata netizen, mereka sudah buat yang terbaik. Bukanlah tugas mudah untuk memajukan bola sepak kerana ia memerlukan masa yang lama,” ujarnya.

Malaysia kini sedang melakukan persiapan bagi menghadapi satu lagi aksi persahabatan Tier 1 menentang Uzbekistan yang dijadualkan berlangsung di Stadium Antarabangsa Amman esok.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI