KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan lima unit kenderaan mewah jenis BMW dan Volkswagen (dilengkapi aksesori) yang diterima semalam adalah hanya untuk uji cuba atau peringkat pembuktian konsep (POC) tanpa sebarang perjanjian atau urusan pembelian.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Hazani Ghazali berkata, kenderaan yang diterima sebagai kenderaan pasukan polis itu adalah hanya untuk uji cuba atau POC yang belum dimuktamadkan.
“Tempoh uji cuba adalah selama dua minggu yang melibatkan kenderaan model BMW M3, BMW X3 dan Volkswagen Tiguan yang mana kenderaan-kenderaan tersebut akan digunakan oleh Jabatan KDNKA, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) serta Cawangan Pengiring PDRM.
“Tujuan uji cuba ini adalah untuk mendapatkan maklum balas sama ada kenderaan-kenderaan berkenaan sesuai atau tidak digunakan bagi sebarang penugasan dalam PDRM,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, PDRM juga sedia maklum akan kekangan kewangan yang dihadapi oleh kerajaan dan tawaran yang diberikan oleh syarikat berkenaan adalah atas prinsip hanya untuk uji cuba, sebelum sebarang keputusan untuk penggunaannya diputuskan oleh PDRM kelak.
Terdahulu, tular gambar lima kenderaan mewah BMW dan Volkswagen yang didakwa akan digunakan oleh PDRM untuk mengiring orang kenamaan (VIP) sehingga menimbulkan rasa tidak puashati dalam kalangan orang ramai yang turut mempersoalkan kedudukan kewangan negara lebih-lebih lagi ketika berhadapan wabak Covid-19. – K! ONLINE