AKSI persahabatan Tier 1 skuad bola sepak kebangsaan tidak berakhir dengan baik apabila tewas 0-4 kepada Jordan pada perlawanan yang berlangsung di Stadium King Abdullah II, Amman malam kelmarin.
Jaringan hatrik penyerang muda tuan rumah, Ali Olwan serta satu gol menerusi Odai Al-Saify sudah cukup untuk meremukkan hati pemain-pemain Harimau Malaya yang menampilkan aksi di bawah paras sebenar.
Pemain tengah pasukan negara, Muhammad Akram Mahinan mengakui, dia dan rakan-rakan sepasukan berada dalam keadaan tertekan sepanjang perlawanan gara-gara taktikal menyerang yang ditampilkan Jordan.
Dalam pada itu, dia yang juga pemain Kuala Lumpur City berkata, empat gol yang dilepaskan pasukan negara dalam perlawanan tersebut adalah disebabkan oleh kelekaan sendiri sehingga dihukum pemain lawan.
“Perlawanan semalam (kelmarin) memang kami agak tertekan kerana Jordan bermain dengan cukup agresif dari awal hingga akhir permainan, namun kami tetap cuba untuk mulakan gerakan daripada bawah.
“Sudah tentu kami dapat belajar sesuatu daripada kekalahan ini untuk perlawanan yang akan datang. Kami melepaskan gol dengan mudah dan itu yang membuatkan pasukan mahu bangkit semula,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Menjelang satu lagi perlawanan persahabatan Tier 1 menentang Uzbekistan di Stadium Antarabangsa Amman esok, Akram menggesa rakan sepasukan untuk memperbaiki setiap kelemahan yang ada terutamanya di benteng pertahanan.
“Selepas ini, kami akan bertemu Uzbekistan dalam satu lagi aksi persahabatan dan sudah tentu ia lebih sukar. Saya harap semua pemain lebih fokus dan berwaspada ketika bertahan.
“Apa yang penting, semua pemain sudah tampilkan aksi terbaik walaupun baru tiga hari menjalani latihan bersama. Saya harap semua penyokong Harimau Malaya doakan kami di sini,” ujarnya.