PUTRAJAYA – Pembukaan institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) bagi Johor kekal pada Ahad ini berdasarkan ketetapan pengoperasian institusi pendidikan bagi negeri Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
KPM dalam satu kenyataan berkata, ia melibatkan kehadiran Murid Berkeperluan Khas (MBK) di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK), Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional (SMPKV) dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).
Katanya, turut terlibat ialah murid tingkatan 6 semester 2, Program Prauniversiti semester 3 di Sekolah Sukan Sukan Malaysia dan murid kelas peperiksaan antarabangsa (IGCSE O-Level, A-Level, Australia Higher School Certificate dan IBDP).
“Bermula 8 Oktober 2021, Johor beralih ke Fasa 3 PPN. Oleh itu pengoperasian institusi pendidikan mengikut ketetapan Fasa 3 PPN akan bermula pada 24 Oktober 2021.
“Ini melibatkan kehadiran murid prasekolah, kelas peperiksaan awam di sekolah asrama sepenuhnya, sekolah harian dan sekolah swasta, Prauniversiti Sekolah Sukan Malaysia serta kelas peperiksaan antarabangsa yang lain,” katanya hari ini.
Menurut KPM, pengoperasian institusi pendidikan bawah KPM di negeri Pahang pula kekal pada 11 Oktober berdasarkan ketetapan negeri Fasa 3 PPN.
“Memandangkan Pahang akan beralih ke Fasa 4 pada 8 Oktober 2021, maka pengoperasian institusi pendidikan di Pahang berdasarkan ketetapan Fasa 4 PPN hanya akan bermula pada 25 Oktober 2021,” katanya.
Menurutnya, ia akan melibatkan kehadiran MBK di SKPK, SMPKV dan PPKI, murid prasekolah dan Tahap 1 (tahun 1, 2 dan 3), murid tingkatan 6 dan kelas peperiksaan awam serta murid Prauniversiti di Sekolah Sukan
Malaysia.
Selain itu, turut terlibat ialah murid tingkatan 3 dan tingkatan 4 di sekolah asrama sepenuhnya, sekolah harian dan sekolah swasta, serta murid kelas peperiksaan antarabangsa (IGCSE O-Level, A-Level dan IBD) dan murid kelas peperiksaan antarabangsa yang lain.
Pada masa sama, KPM menyarankan agar ketetapan tersebut turut terpakai di semua institusi pendidikan yang tidak berdaftar dengannya, termasuk institusi pendidikan bawah kerajaan negeri. – K! ONLINE