PUTRAJAYA – Tiada lagi hari yang memenatkan buat Pasukan Petugas Khas Pengurusan Jenazah Covid-19 Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Ini kerana, ketika ini pasukan itu hanya menerima antara tiga hingga lima jenazah Covid-19 untuk diuruskan dan dikebumikan berbanding 40 hingga 50 jenazah sehari sekitar Jun dan Julai lalu.
Jawi menerusi satu kenyataan berkata, pihaknya tidak menafikan situasi dan trend terkini kes kematian Covid-19 turut meringankan beban tugas pasukan berkenaan.
Menurutnya, sejak kebelakangan ini, bilangan jenazah yang diuruskan adalah sekitar tiga hingga lima jenazah setiap hari.
“Keadaan ini berbeza jika dibandingkan sebelum ini apabila pasukan itu menerima antara 40 hingga 50 jenazah setiap hari bahkan pernah mencecah bilangan 93 jenazah sehari.
“Walaupun situasi semasa semakin baik, Pasukan Pengurusan Jenazah Covid-19 sentiasa bersedia pada setiap masa untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang berlaku,” katanya hari ini. -K! ONLINE